EA dan Maxis telah berkongsi lanjut mengenai Project Rene iaitu nama projek yang digunakan untuk permainan seterusnya The Sims, yang juga boleh dianggap sebagai “The Sims 5”. Di dalam perkongsian terbaru ini, mereka mengatakan yang apabila Project Rene dilancarkan, ia tidak akan menggantikan The Sims 4, sebaliknya kedua-dua permainan akan terus menerima kandungan baharu.
Mereka juga mengumumkan yang Project Rene ini akan dilancarkan sebagai permainan yang ‘percuma untuk dimuat turun’ dan mengatakan yang apabila ia dilancarkan pemain boleh main permainan tanpa memerlukan sebarang langganan, pembelian permainan ataupun mekanik tenaga.
Kandungan tambahan akan terus dijual secara berasingan di dalam Project Rene tetapi mengatakan yang perkara asas akan disertakan secara percuma. Contoh yang diberikan oleh Maxis adalah, cuaca akan disertakan sebagai kemaskini percuma akan tetapi aktiviti ataupun kandungan yang berkait dengan cuaca tersebut, akan dijual secara berasingan.
Sebelum ini telah diumumkan yang Project Rene akan menyokong fungsi rentas platform dan mempunyai mod multi-pemain.
Project Rene masih di peringkat awal pembangunan dan masih tidak mempunyai sebarang tarikh pelancaran.