Skip to main content

‘Small, Slow but Steady’ seperti judulnya adalah satu filem yang kecil, perlahan tetapi pada masa disampaikan dengan tetap. Filem berbahasa Jepun ini diarahkan oleh Sho Miyake dan mengenai Keiko lakonan Yukino Kishii yang merupakan seorang yang pekak tetapi mempunyai minat di dalam sukan tinju dan telah menyertai perlawanan secara profesional. Filem ini bukanlah memfokuskan kepada tinju itu sendiri, walaupun memainkan peranan yang penting tetapi filem ini lebih kepada kehidupan yang berlaku di sekitar Keiko dan Keiko sendiri.

Jika anda melihat treler ataupun poster filem ini dan menganggap filem ini adalah mengenai bagaiman Keiko yang walaupun pekak tetapi mempunyai bakat dan selepas berusaha menjadi seorang peninju yang hebat, ia adalah salah. Sebaliknya, filem ini lebih memfokuskan kepada bagaimana Keiko seorang yang pekak walaupun berada di kawasan yang bising, ataupun ramai orang tetap terasa bersendirian dan kesunyian kerana kelainan upaya dirinya itu.

Saya sangat suka filem ini sering memilih kawasan-kawasan yang bising seperti di tepi jalan ataupun jambatan, di tempat latihan tinju dan pelbagai lagi tempat yang dipenuhi dengan bunyi untuk memperlihatkan secara jelas walaupun dengan kesemua bunyi ini, Keiko masih bersendirian. Perkara ini juga diterjemahkan dengan baik mengenai permasalahan Keiko untuk berhubung dengan sesiapa sahaja, tambah lagi semasa perlawanan tinju. Kesukaran untuk berhubung ini juga memainkan peranan penting di dalam penceritaan, bahkan bagi saya merupakan fokus utama untuknya.

Selain Keiko, filem ini juga memfokuskan kepada pemilik kelab tinju yang digelar sebagai ‘Chairman’ lakonan Tomokazu Miura yang selain daripada mempunyai masalah untuk menarik orang muda belajar tinju, dia juga mempunyai satu masalah yang menurut doktor adalah “small, slow but steady”. Chairman telah menjadi orang yang penting di dalam kehidupan Keiko, dan filem ini menyampaikan perhubungan mereka dengan baik sekali, walaupun mereka berdua mempunyai masalah yang berbeza, tetapi berhubung dan mempunyai perasaan hormat antara satu sama lain melalui tinju.

Seperti saya cakapkan di bahagian permulaan, filem ini adalah seperti judulnya, penceritaan yang disampaikan, permasalah yang diselitkan adalah kecil sahaja, manakala penyampaian setiap babak adalah dengan sangat perlahan tetapi bagi saya ia tidak membosankan kerana gaya penceritaan ini terus disampaikan dengan tetap tanpa sebarang perubahan yang nyata menjadikan penceritaan lebih senang untuk diikut dan consistent.

Arahan seni bagi filem ini juga sangat berlainan berbanding filem-filem yang saya kebiasaan tonton, ia menggunakan kamera yang berlain, cara sesuatu adegan dirakam dan disunting juga terasa segar dan saya sekadar menyahati setiap babak-babak yang disampaikan. Sedikit rungutan yang saya boleh nyatakan adalah cara penggunaan sari kata untuk menyatakan apa yang dicakapkan oleh Keiko adalah tidak consistent. Ada masa sari kata disertakan, ada masa ia diperlihatkan dengan cara berlainan dan ada masa ia langsung tidak mempunyai sari kata dan sekadar perlu melihat gerak badan mereka unutk memahami melainkan anda memahami bahasa isyarat.

Selain itu, susunan plot untuk filem ini juga mungkin ada masa terasa terlalu bercampur-campur yang menjadikan salah satu adegan daripada pelbagai adegan kurang memberi impak berbanding adegan-adegan lain. Ini terutama apabila Keiko menghadapi beberapa masalah pada satu masa dan penyampaiannya sedikit bercelaru yang seperti saya katakan memberi impak yang kurang berbanding sepatutnya.

Akhir kata, ‘small, slow but steady’ mungkin merujuk kepada gaya tinju bagi Keiko, akan tetapi ia juga mengambarkan dengan baik mengenai filem ini secara keseluruhannya. Filem ini terasa seperti satu filem kecil, disampaikan dengan perlahan akan tetapi tetap di dalam kualiti penyampaian yang memberikan satu filem yang sangat menarik untuk ditonton. Filem ini juga menyertakan arahan seni yang sangat baik dan terasa berlainan dengan filem-filem kebiasaan. Rungutan kecil adalah mengenai sari kata dan juga beberapa adegan yang sedikit bercelaru.

Penafian: Tayangan untuk Small, Slow but Steady disediakan oleh Festival Filem Jepun 2023 yang sedang berlangsung sehingga 15 Oktober 2023.

Small, Slow but Steady
'Small, Slow but Steady' mungkin merujuk kepada gaya tinju bagi Keiko, akan tetapi ia juga mengambarkan filem ini yang terasa seperti satu filem kecil, disampaikan dengan perlahan akan tetapi tetap di dalam kualiti penyampaian yang memberikan satu filem yang sangat menarik untuk ditonton.
Positif
Penyampaian penceritaan yang baik
Arahan seni yang menarik
Negatif
Sari kata tidak consistent
Beberapa adegan sedikit bercelaru
8

Leave a Reply

Final Score