Skip to main content

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi telah berkongsi kepada Berita Harian mengatakan yang Taman Tema Upin Ipin akan bertempat di Alor Gajah, Melaka di depan A Famosa Resort. Beliau juga mengatakan yang projek taman tema ini dijangka akan bermula akhir tahun ini dengan pembukaan secara berperingkat bermula pada tahun 2026.

Ini bukan pertama kali projek Taman Tema Upin Ipin diumumkan, sebelum ini Les’ Copaque telah menandatangani memorandum persefahaman untuk mengkaji pembangunan taman tema tersebut di Cyberjaya.

Menurut Burhanuddin, selain daripada Cyberjaya mereka juga telah menerima tawaran untuk membuka taman tema tersebut di Negeri Sembila dan beberapa lokasi lain, akan tetapi kesemua tempat tersebut memerlukan modal yang besar kerana terpaksa membeli tanah untuknya.

Manakala di Melaka ini, mereka akan bekerjasama dengan Perbadanan Melaka (Melaka Corporation) iaitu organisasi di bawah kerajaan negeri Melaka. Melalui kerjasama ini, berbanding Les’ Copaque membeli tanah tersebut, mereka sebaliknya berkongsi pembangunan bagi projek taman tema ini.

Projek ini dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak RM700 juta.

Les’ Copaque juga telah mengumumkan yang Karnival Upin & Ipin akan kembali di MITC Melaka bermula pada 15 sehingga 17 Disember 2023.

Leave a Reply