Skip to main content

Samba de Amigo adalah permainan irama yang diterbitkan oleh SEGA pada tahun 1999 untuk sistem arked mereka, ia juga dikeluarkan untuk Dreamcast dan Wii. Hampir 24 tahun kemudian, SEGA telah hadir dengan permainan versi baharu iaitu Samda de Amigo: Party Central yang dikeluarkan untuk Nintendo Switch dan Meta Quest 2. Selain daripada itu, mereka juga melancarkan permainan yang sama tetapi dengan penambahan tersendiri untuk Apple Arcade iaitu Samba de Amigo: Party-To-Go iaitu yang akan menjadi permainan saya ulas hari ini.

Samba de Amigo: Party-To-Go seperti yang saya katakan adalah permainan irama dan bagi versi Apple Arcade ini boleh dikawal menggunakan skrin sesentuh, ataupun menggunakan alat kawalan jika bermain melalui Apple TV ataupun Mac. Kawalan adalah seperti permainan irama lain dengan memerlukan mengikut rentak dan masa yang tepat, semasa bermain terdapat 6 gelung yang disusun dalam bentuk bulat, dan mengikut bebola yang keluar pemain perlu menekan ataupun menggerakkan analog stick ke bulatan tersebut.

Permainan ini sepatutnya menggambarkan penggunaan ‘Maracas’ akan tetapi menggunakan skrin sesentuh dan juga alat kawalan kurang memberikan perasaan tersebut. Bagi versi Nintendo Switch dan Meta Quest, anda boleh menggunakan alat kawalan platform tersebut seperti Maracas, akan tetapi walaupun peranti Apple menyokong Joy Con akan tetapi cara kawalan motion ini tidak disokong di versi Apple Arcade ini yang bagi saya sedikit mengecewakan.

Saya bukanlah mahir di dalam permainan irama, dan saya boleh katakan permainan ini adalah antara permainan irama yang agak sukar bagi saya. Pertama kerana kedudukan gelung secara bulatan bagi saya lebih sukar berbanding jika secara garisan lurus. Namun, selepas meluangkan lebih banyak masa, ia akan menjadi lebih mudah sama ada kawalan di skrin ataupun menggunakan alat kawalan.

Selain mengikut pergerakan bebola, permainan ini juga menyertakan pergerakan lain seperti ‘Pose’ yang akan memperlihatkan figura memegang Maracas, dan saya perlu memastikan menahan kedudukan Maracas tersebut, terdapat pelbagai Pose yang berbeza dan ia akan tiba dalam masa yang pantas. Tambahan itu, anda juga boleh menekan tanda tanya apabila ia keluar untuk memasuki permainan-mini contohnya ‘High-Five’ dan juga besbol.

Bagi saya, tatamain bagi permainan ini adalah menarik dan seronok untuk terus mencuba agar jadi lebih selesa. Namun, satu lagi rungutan yang saya boleh nyatakan adalah permainan ini mempunyai grafik yang berwarna terang semasa bermain ataupun di bahagian-bahagian lain, yang bagi saya adalah baik kerana menjadikan permainan ini cantik, akan tetapi akan timbul masalah apabila bebola irama tidak boleh dibezakan dengan latar belakang yang membuatkan saya sukar untuk mengikut bebola tersebut dan sekali gus menjadikan saya tidak berjaya untuk mendapat skor yang lebih tinggi.

Saya mungkin dapat bermain dengan lebih baik dan masalah ini tidak lagi akan timbul apabila bermain dengan lebih lama, akan tetapi buat masa ini saya berharap yang bebola irama yang keluar mempunyai warna yang lebih berlainan dengan warna permainan ini agar memudahkan saya lagi untuk menjejakinya dan tidak terasa seperti digagalkan akibat masalah ‘teknikal’.

Bagi mod permainan pula, terdapat dua iaitu Rythm Game yang membolehkan saya memilih mana-mana lagu dan mencuba dengan tahap kesukaran yang berbeza. Seterusnya adalah Story iaitu mod yang tiba khusus untuk permainan ini versi Apple Arcade sahaja. Ia mempunyai penceritaan menarik yang disampaikan dalam bentuk perbualan melalui mesej, tetapi ada juga beberapa adegan animasi dari semasa ke semasa.

Secara keseluruhan terdapat 10 bab dan setiap bab memerlukan saya untuk melalui beberapa kawasan yang akan menggunakan lagu-lagu berbeza. Bagi saya mod ini adalah cara yang baik untuk mengenali watak utama Amigo dan juga membiasakan diri dengan lagu-lagu di dalam permainan ini, terutama anda mempunyai masalah untuk memilih lagu kegemaran.

Bercakap mengenai pilihan lagu, permainan ini menyertakan 43 pilihan lagu yang terdiri daripada lagu terbaru dan juga lagu-lagu klasik. Bagi versi Apple Arcade ini, ia menerima tiga lagu secara eksklusif iaitu “Daddy” oleh Psy, “The Edge of Glory” oleh Lady Gaga dan “The Walker” oleh Fitz dan the Tantrums. Edisi lain akan menerima tambahan lagu melalui DLC, buat masa ini tidak disahkan lagi untuk versi Apple Arcade kerana bagi permainan Apple Arcade mereka tidak akan menyertakan pembelian di dalam permainan.

Akhir kata, Samba de Amigo: Party-To-Go adalah satu permainan irama yang baik dan mempunyai koleksi lagu yang menarik, mod penceritaan yang disertakan juga adalah menarik untuk menjadi permulaan kepada pemain dan juga untuk mengisi masa. Sedikit perkara yang mengecewakan adalah kawalan menggunakan skrin sesentuh ataupun menggunakan analog stick alat kawalan tidak memberi perasaan seperti menggunakan macaras, selain itu ada masa bebola irama terlalu sama dengan latar belakang menjadikan ia sedikit sukar untuk dimainkan terutama jika ingin mendapatkan skor yang sempurna.

Samba de Amigo: Party-To-Go
Samba de Amigo: Party-To-Go adalah satu permainan irama yang baik dan mempunyai koleksi lagu yang menarik, mod penceritaan yang disertakan juga adalah menarik untuk menjadi permulaan kepada pemain dan juga untuk mengisi masa.
Positif
Mod Penceritaan Yang Baik
Pilihan Lagu Yang Menarik
Negatif
Cara Kawalan Tidak Mengagmbarkan Permainan Ini
Sedikit Masalah Grafik
7

Leave a Reply

Final Score