Apple TV+ adalah platform penstriman video yang cukup menarik. Ada banyak kandungan berkualiti dari pelbagai kategori. Siri TV paling popular setakat ini adalah Ted Lasso yang mempunyai tiga musim. Ia juga menjadi siri Apple TV+ pertama yang paling popular.
Terbaru, Nielsen melaporkan yang Apple TV+ mempunyai siri TV baharu yang menjadi popular. Ia adalah Hijack lakonan Idris Elba dan diarahkan oleh Jim Field Smith (francais Criminal).
Hijack merupakan siri TV dengan tujuh episod, di mana setiap episod mewakili satu jam perjalanan sebuah kapal terbang yang menuju ke London. Kapal terbang ini telah dirampas dan setiap episod akan menceritakan pengembaraan setiap penumpang serta bagaimana pihak berkuasa menyelesaikannya dari jauh.
Ini adalah kali pertama siri TV Apple TV+ bukan Ted Lasso menjadi popular. Di Rotten Tomatoes, siri ini turut dilihat menerima maklum balas positif. Hijack turut menyertakan pelakon seperti Archie Panjabi, Christine Adams dan Max Beesley. Siri ini sudah pun tersedia di Apple TV+ dengan kesemua tujuh episod.