Immortals of Aveum boleh dikatakan sebagai satu permainan yang ‘terbang di bawah radar’ kerana tarikh pengeluarannya adalah di antara pengeluaran besar permainan-permainan lain. Ia tiba selepas Baldur’s Gate 3 dan sebelum Starfield, oleh itu tidak mengejutkan apabila mungkin ramai yang akan terlepas pandang permainan ini, dan saya boleh katakan ia adalah satu kerugian kerana permainan ini mempunyai tarikan tersendiri walaupun tidaklah membawa sesuatu yang baharu tetapi bagi satu pengelaman permainan aksi pengembaraan, ia adalah mencukupi.
Ascendant Studios semasa mengumumkan permainan ini mengatakan yang Immortals of Aveum adalah permainan ‘Call of Duty’ tetapi menggunakan magis, dan gambaran itu sangat tepat sekali. Bermain permainan ini, walaupun menggunakan magis terasa bermain permainan First-Person Shooter terutamanya dengan kuasa yang digunakan oleh pemain boleh dibahagikan kepada tiga warna iaitu Hijau, Biru dan Merah. Tiga magis berbeza ini saya boleh samakan dengan tiga jenis senjata iaitu Hijau adalah Automatic Rifle, biru adalah Rifle manakala merah adalah Shotgun,
Penggunaan magis ini juga agak straightforward, tiada kombo ataupun gabungan dua-tiga warna sebaliknya ia berfungsi seperti anda menukar jenis senjata sahaja. Ini menjadikan tatamain pertempuran sedikit ringkas, tetapi memadai untuk memberikan perasaan thrill menggunakan kuasa-kuasa ini. Terdapat beberapa jenis penjahat yang perlu diserang menggunakan warna tertentu, termasuk juga yang mempunyai perisai berdasarkan warna tersebut selain daripada itu, ia adalah sekadar mengikut apa yang saya suka pada waktu itu.
Bagi menukar jenis magis yang digunakan saya akan menekan butang ‘tiga segi’ dan ia akan bertukar mengikut susunan yang bagi saya sedikit kurang menarik dan berkesan, saya merasakan jika saya diberikan pilihan seperti wheel, ia menjadikan sesi permainan lebih baik. Oleh kerana itu, kebanyakan masa saya sekadar menggunakan merah sahaja kerana melakukan serangan terkuat dan hanya tukar apabila bertemu dengan penjahat yang memerlukan serangan warna tertentu sahaja.
Permainan ini ada mengatakan yang setiap magis berguna untuk kegunaan berlainan seperti menggunakan biru untuk menyerang dari jauh, menggunakan hijau jika ada terlalu ramai penjahat dan merah apabila berada berhampiran dengan penjahat. Namun, oleh kerana cara penjahat menyerang, kebanyakan masa saya akan menggunakan merah sahaja, ditambah lagi dengan masalah yang saya nyatakan di atas.
Selain serangan yang digelar sebagai ‘Strike Spells’, terdapat juga beberapa ‘Fury Spell’ yang setiapnya juga mengikut warna, tetapi ia boleh diakses dengan lebih mudah menggunakan wheel. Fury Spell akan menggunakan “mana” untuk digunakan, ia adalah terhad tetapi anda boleh gunakan Mana Crystal untuk memenuhinya dengan semula – Mana Crystal dan juga Health Crystal boleh didapatkan dengan membuka ataupun memecahkan bekas-bekas di dalam peta.
Sebagai tambahan, saya juga boleh menggunakan ‘Sebagai tambahan, saya juga boleh menggunakan ‘Control Spell’ seperti lash untuk menarik penjahat ataupun menarik diri ke tempat yang lebih tinggi dan jauh, menembak Limpets yang akan memperlihatkan pergerakan penjahat dan juga Disrupt yang boleh menghentikan pergerakan penjahat. Sebagai pertahanan saya juga boleh mengeluarkan perisai, blink ataupun mengelak dan kedua-dua perkara ini mempunyai had dan had masa sebelum dapat digunakan semula. Terdapat juga ‘Ultimate Spell’ yang akan menembak satu pancaran magis yang melakukan serangan terkuat tetapi mempunyai had kegunaan.
Saya bermain dengan tahap kesukaran Magnus iaitu Normal, terdapat juga Apprentice untuk Easy dan Immortal untuk Hard dan saya boleh katakan pertempuran adalah tidak terlalu sukar kebiasaan yang menjadi masalah adalah apabila tidak mempunyai Health Crystal kerana pada satu masa saya boleh membawanya dengan jumlah yang terhad. Jika anda inginkan cabaran, saya merasakan Immortal adalah pilihan terbaik, kerana bagi saya kesukaran Normal untuk permainan ini adalah lebih mudah berbanding kebanyakan Normal permainan-permainan lain.
Ini ditambah lagi apabila anda mula mendapatkan Gear yang lebih baik. Gear yang terdapat di dalam permainan ini adalah Sigil yang khusus untuk kegunaan Strike Spell oleh itu setiap warna akan mempunyai Sigil tersendiri, seterusnya adalah Totem yang memberikan kelebihan secara umum dan juga untuk Control Spells seterusnya adalah Rings yang memberikan kelebihan secara umum dan akhir sekali Bracers. Setiap Gear ini juga terbahagi kepada empat iaitu Common, Rare, Epic dan Legendary. Setiapnya akan menentukan tahap permulaan dan juga maksimum, contohnya Epic mempunyai tahap maksimum 31, manakala Legendary bermula dengan 35 dan maksimum adalah 50.
Selain daripada itu, saya juga boleh meningkatkan Talents ataupun skill tree bagi permainan ini. Saya boleh menambah talent menggunakan Ascensions yang akan bertambah semasa bermain dan bertempur. Talents boleh ditetapkan semula pada bila-bila masa di luar pertempuran dengan bayaran 10 ribu Gold. Menggunakan Gear dan Talent membantu untuk menghasilkan gaya permainan tersendiri akan tetapi saya yang menggunakan tahap kesukaran Normal tidak merasakan perlu untuk meluangkan lebih masa melakukannya. Namun, saya boleh katakan jika anda menyukai perkara ini, ia mempunyai Gear dan Talent yang pelbagai untuk anda melakukannya.
Bagi bahagian pengembaraan pula permainan ini boleh dikatakan sebagai permainan semi-dunia terbuka. Terdapat beberapa kawasan yang boleh dimasuki dan setiap kawasan ini akan mempunyai cabang-cabang, ataupun laluan rahsia yang boleh diteroka untuk mendapatkan Chests ataupun memasuki Shroudfanes iaitu kawasan tambahan yang mempunyai ganjaran tersendiri dengan melalui tekaria ataupun bertempur. Terdapat juga beberapa kawasan yang hanya boleh diakses selepas mendapat kemahiran tertentu dan juga selepas habis bermain, oleh itu jika anda bercadang untuk ‘100%’ permainan ini, saya cadangkan melakukan selepas anda sudah menghabiskan penceritaan utama.
Selain pelbagai aktiviti tersebut, pengembaraan juga menarik kerana rekaan dunia yang saya boleh katakan dilakukan dengan baik. Banyak kawasan yang kelihatan gah dan cantik, tetapi malangnya permainan ini tidak sangat berinteraksi dengan dunia sendiri. Walaupun memasuki kawasan yang mempunyai rekaan menarik, seperti lava yang boleh dibelah dua, akan tetapi tiada apa-apa dialog daripada watak utama iaitu Jak ataupun mana-mana watak lain yang bercakap mengenai perkara tersebut.
Saya menyukai permainan pengembaraan seperti Uncharted kerana setiap watak utama akan berinteraksi dengan kawasan-kawasan tersebut seperti menceritakan sejarahnya ataupun memberitahu mengapa ia direka sedemikian dan sebagainya. Seperkara lagi yang membuatkan saya tidak terlalu gemar mengembara di dalam permainan ini, adalah rekaan peta yang bagi saya sangat mengelirukan dan sukar untuk melihat arah ataupun cara mengakses kawasan-kawasan tersebut.
Bercakap mengenai rekaan dunia, kualiti dan prestasi grafik di dalam permainan ini adalah memuaskan walaupun tidak memukau jika ingin dibandingkan dengan permainan AAA yang dikeluarkan beberapa tahun ini. Di kebanyakan tempat kelancaran adalah baik walaupun semasa bertempur dan terdapat pelbagai kesan kuasa. Cuma terdapat beberapa kawasan sahaja dan juga semasa adegan tertentu sahaja kadar kelancaran menjadi lebih rendah tetapi ia tidak terlalu kerap dan tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan. Ini adalah untuk PlayStation 5, saya tidak mencuba permainan ini di Xbox Series, manakala untuk PC berdasarkan ulasan di Steam, ia mungkin mempunyai lebih banyak masalah berbanding versi konsol.
Di dalam ulasan, saya biasanya memulakan dengan penceritaan sesuatu permainan tetapi bagi Immortals of Aveum saya meletakkan di bahagian akhir kerana ia adalah bahagian yang paling mengecewakan di dalam permainan ini. Premis penceritaan adalah menarik, pertempuran merebut kuasa di antara dua organisasi dan Jak watak utama terlibat sekali selepas kampungnya diserang dan dia didapati memiliki ketiga-tiga kuasa magis, kebiasaannya satu sahaja setiap orang.
Masalah utama di dalam penceritaan adalah, ia sepatunya melibatkan dua organisasi yang merebut untuk mengawal penggunaan magis, tetapi plot dan penglibatan watak di dalam permainan ini membuatkan ia terasa seperti 5-6 orang sedang bergaduh sesama sendiri, perasaan ini melibatkan satu organisasi besar hilang. Benar, permainan memfokuskan kepada watak Jak akan tetapi saya merasakan ia boleh dilakukan dengan lebih baik untuk memperlihatkan skala peperangan ini.
Masalah seterusnya pula adalah beberapa watak yang terlibat ini pula tidak terasa dikembangkan dengan baik ataupun diberi peluang untuk menjadi lebih daripada sekadar penggerak plot. Ini menjadi lebih terkesan apabila watak tersebut memainkan peranan penting di akhir penceritaan. Penceritaan boleh terus mengekalkan misteri sesuatu penceritaan tanpa perlu mengurangkan kepentingan sesuatu watak pada permulaan.
Penulisan di dalam permainan ini pula saya ada bahagian yang saya suka dan ada bahagian yang tidak, berdasarkan cara penyampaian dialog dan juga penulisan, saya faham yang pembangun ingin menjadikan permainan ini lebih ringan, tetapi bagi saya ia dilakukan dengan terlalu ‘ringan’ menyebabkan permasalahan utama di dalam permainan ini tidak memberi kesan yang besar yang serba sedikit mencacatkan pengalaman saya.
Walaupun begitu, selepas kredit permainan ini terpapar saya masih menyukai dengan keseluruhan penceritaan yang disampaikan, pengalaman untuknya mungkin bukan terbaik tetapi ia masih lagi satu penceritaan yang menarik, mempunyai plot twist yang tersendiri walaupun mudah untuk dijangka dan pengakhiran juga adalah seperti God of War Ragnarok yang membuka ruang untuk anda teruskan bermain bagi melakukan perkara-perkara yang terlepas sebelum ini.
Akhir kata, Immortals of Aveum mempunyai tatamain pertempuran yang menarik dengan pelbagai gaya dan jenis serangan yang boleh dilakukan, jika anda ingin lebih cabaran dan ingin memastikan menggunakan kesemua serangan dan peralatan di dalam permainan ini, bermain dengan tahap kesukaran Immortal adalah lebih baik.
Rekaan dunia adalah cantik dan prestasi serta grafik untuk kebanyakan tempat adalah memuaskan walaupun ada beberapa bahagian yang kelancaran akan terganggu. Kualiti grafik juga memuaskan walaupun tidak sebaik permainan-permainan aksi pengembaraan yang keluar untuk beberapa tahun ini. Penceritaan sedikit mengecewakan kerana penulisan yang kurang berkesan untuk menjadikan watak menarik ataupun memperlihatkan skala sebenar permasalahan akan tetapi secara kekeruhannya masih lagi baik.
Penafian: Kod permainan untuk Immortals of Aveum disediakan oleh EA bagi tujuan ulasan ini. Ia sudah dikeluarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.
Verification for Open Critic