Bagi filem The Equalizer 3 ini, saya mempunyai 3 persoalan selepas menonton treler untuknya iaitu mengapa Robert McCall lakonan Denzel Washington berada di Itali, soalan kedua mengapa dia bergaduh dengan yang kelihatan penjahat di tempat tersebut dan ketiga adalah bagaimana Emma Collins lakonan Dakota Fanning terlibat dengan penceritaan ini.
Seperti saya jangkakan, jawapan kepada 3 persoalan ini memainkan peranan penting mengenai penceritaan untuk filem ini, dan saya boleh katakan ia dilakukan dengan baik tetapi kurang memuaskan dan juga terasa sedikit kurang kemas. Saya tidak akan berkongsi beberan (spoiler) tetapi, saya boleh katakan yang sebab mengapa Robert McCall berada di Itali adalah ringkas tetapi pada masa sama “on brand” dengan wataknya.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2023/08/The-Equalizer-3-10-1024x683.jpg)
Persoalan kedua iaitu dengan siapa dan mengapa Robert McCall lawan kali ini juga adalah sama seperti mana-mana filem aksi lain. Manakala persoalan ketiga iaitu penglibatan Emma Collins yang bagi saya terasa sedikit tidak perlu, tidak bermakna yang watak ini tidak penting, ia memainkan sedikit peranan di dalam penceritaan akan tetapi saya merasakan yang secara keseluruhan, penyertaan terlalu janggal dan kurang berkesan.
Kesinambungan di antara tiga persoalan ini juga boleh dilakukan dengan lebih baik, persoalan pertama dan persoalan kedua pada akhirnya mempunyai sedikit perhubungan, akan tetapi filem tidak sangat menekankan perkara tersebut, sebaliknya membawa Emma Collins untuk menjadi penghubung yang bagi saya sedikit aneh kerana menjadikan penceritaan lebih rumit tanpa diperlukan.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2023/08/The-Equalizer-3-08-1024x683.jpg)
Walaupun penceritaan terasa sedikit kurang kemas kerana perhubungan di antara tiga persoalan di atas (ataupun kurangnya perhubungan), The Equalizer 3 masih lagi satu filem yang saya mempunyai masa yang baik untuk tonton. Ini ditambah lagi dengan Denzel Washington masih lagi membawa karismanya ke dalam watak Robert McCall dan perhubungannya dengan watak-watak lain menjadi pendorong utama untuk filem ini.
Sedikit rungutan mengenai perhubungan ini adalah ia sering berlaku di tempat makan, ia sudah menjadi ‘trademark’ bagi watak Robert McCall namun di dalam filem ini ia berlaku terlalu kerap dan ada masa terlalu ringkas membuatkan ia sedikit janggal, bahkan terasa seperti satu meme yang di diperlihatkan sendiri di dalam filem.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2023/08/The-Equalizer-3-05-1024x682.jpg)
Watak jahat pula seperti yang saya katakan di atas adalah sekumpulan penjahat yang sering tiba di dalam filem-filem aksi lain, termasuk juga dengan filem The Equalizer yang sebelum ini. Mereka melakukan kejahatan yang mencukupi untuk menjadikan apabila mereka akhirnya bertemu dengan Robert McCall, ia memberi kepuasan untuk melihat nasib-nasib mereka.
Adegan aksi juga dilakukan dengan baik, dan cukup ngeri walaupun terdapat beberapa adegan yang dipotong menjadikan adegan tersebut sedikit aneh tetapi secara keseluruhannya ia masih satu filem aksi tanpa henti yang memuaskan. Filem ini diklasifikasikan sebagai 16, yang membuatkan saya tertanya sama ada bahagian-bahagian yang dipotong tidak perlu dipotong jika ia menjadi 18 berbanding 16.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2023/08/The-Equalizer-3-03-1024x683.jpg)
Akhir kata, The Equalizer 3 kembali membawa Robert McCall ke tempat dan musuh baharu, ia adalah filem yang kita sudah boleh jangkakan daripada siri filem ini. Denzel Washington masih lagi membawa watak ini dengan baik walaupun tidak merasakan yang ia melakukan penambahan untuk mengembangkan watak ini.
Manakala penceritaan adalah mencukupi untuk menjadikan filem ini menarik untuk ditonton, bagi saya tiada bahagian yang membosankan tetapi terdapat beberapa plot yang terasa perlu tiba sebelum ataupun selepas satu plot lain untuk menjadikan ia lebih tersusun. Plot penceritaan dan juga beberapa watak juga berhubung secara di permukaan sahaja yang bagi saya sedikit mengecewakan.
Jika ingin dibandingkan dengan dua filem The Equalizer yang lain, saya boleh katakan filem pertama adalah terbaik kerana pengenalan watak yang baik dan juga jalan penceritaan yang lebih ringkas. Manakala filem kedua bagi saya adalah sedikit meleret dan terdapat banyak bahagian yang terasa tidak menarik. Filem ketiga ini pula saya boleh katakan di perantaraan untuk dua filem tersebut, ia masih membawa penceritaan yang ringkas tetapi dengan lebih cabang walaupun tidak semua cabang dilakukan dengan baik.
Penafian: Tayangan untuk The Equalizer 3 disediakan oleh Sony Pictures Malaysia. Tayangan umum akan bermula pada 31 Ogos 2023.