PM Studios bersama dengan Pathea telah mengumumkan yang permainan simulasi kehidupan My Time at Sandrock akan dilancarkan pada 2 November 2023 berbanding tarikh yang diumumkan sebelum ini iaitu 26 September 2023.
My Time at Sandrock sebelum ini sudah dilancarkan secara akses awal untuk PC melalui Steam dan juga Epic Games Store. Pelancaran penuh pada bulan November akan turut melibatkan PlayStation, Xbox dan Nintendo Switch.
Mereka mengatakan yang keputusan untuk tunda permainan ini beberapa bulan adalah bagi memastikan permainan ini dilancarkan dengan kualiti yang memuaskan. Di akses awal, permainan ini telah mendapat ulasan yang baik dengan mendapat rating ‘Very Positive’ daripada 11 ribu ulasan.
Permainan ini merupakan permainan susulan kepada My Time at Portia dan akan membawa pemain ke kawasan baharu iaitu Sandrock iaitu satu kawasan gurun serta padang pasir. Seperti permainan sebelum ini, anda akan menjadi pembina. Selain bentuk permainan simulasi pembinaan, ia juga akan disertakan dengan pelbagai penceritaan.