Riot Games telah mengumumkan yang Valorant Episode 7 Act II akan tiba pada 29 Ogos ini yang antaranya akan memperkenalkan Premier dan juga peta baharu iaitu Sunset.
Premier merupakan mod kompetitif baharu yang diumumkan pada bulan Mac lepas lagi dan akan tiba bersama dengan kemaskini terbaru ini. Ia merupakan cara baharu untuk pemain melibatkan diri di dalam kejohanan rasmi Valorant.
Pasukan-pasukan yang ingin terlibat di dalam kejohanan Valorant Challengers, untuk peluang terlibat dengan Valorant Champions Tour perlu melalui Premier terlebih dahulu. Di dalam premier pemain perlu mempunyai satu pasukan untuk bermain bersama dan mendapat kedudukan tertinggi.
Selain itu, Valorant juga akan menyertakan peta baharu iaitu Sunset yang dihasilkan berdasarkan bandar Los Angeles iaitu tempat tertubuhnya Riot Games. Peta ini akan mempunyai 3 laluan dan 2 bahagian, dan di bawah kategori ‘peta mid-control’.
Seperti biasa, bermula musim baharu ini, Battlepass baharu diperkenalkan bersama dengan Imperium Skin Bundle yang pemain boleh dapatkan melalui kedai di dalam permainan.
Valorant sudah dikeluarkan untuk PC sebagai permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.