Google telah melancarkan Google Play Pass pada tahun 2019 iaitu lebih kurang seminggu selepas Apple mengumumkan Apple Arcade. Walaupun sudah dilancarkan lebih 4 tahun yang lepas akan tetapi ia terhad untuk beberapa negara sahaja.
Bermula pada bulan ini, perkhidmatan ini mula ditawarkan dengan lebih meluas kepada pengguna di Malaysia dengan harga langganan RM 10.99/sebulan atau RM99.00/setahun. Setiap langganan juga boleh dikongsikan kepada 5 pengguna lain yang berada di dalam senarai keluarga.
Anda hanya boleh melihat senarai permainan yang ditawarkan di dalam perkhidmatan selepas melanggan, dengan tab khusus yang dikeluarkan. Buat masa ini terdapat tawaran langganan selama sebulan secara percuma untuk anda mencuba terlebih dahulu.
Selain permainan mudah alih, Google Play Pass juga menawarkan aplikasi-aplikasi umum termasuk juga aplikasi gambar dan audio. Jika anda ingin mencuba, anda perlu melayari tetapannya yang terletak di bahagian profil pengguna.