Ratchet & Clank: Rift Apart oleh Insomniac Games adalah permainan seterusnya oleh PlayStation Studios yang di bawa ke PC. Seperti dua lagi permainan oleh Insomniac Games yang di bawah ke PC iaitu Marvel’s Spider-Man Remastered dan Marvel’s Spider-Man: Miles Morales, permainan ini juga dibawakan ke PC oleh Nixxes Software.
Secara umumnya, Ratchet & Clank: Rift Apart adalah satu permainan yang baik di PC, kadar kelancaran tidaklah stabil seperti yang diharapkan tetapi dengan bagaimana permainan ini dibina, saya merasakan ia sesuatu yang sudah dijangkakan. Saya boleh katakan, bagi PC saya, permainan ini boleh dimainkan dengan memuaskan.
Sebelum saya berkongsi lanjut mengenai prestasi permainan ini, saya ingin menyentuh mengenai penceritaan dan tatamain. Perkara ini sudah saya ulas secara lanjut di dalam ulasan untuk versi PS5, oleh itu saya tidak akan menjelaskan secara lanjut di dalam ulasan ini kerana tiada perubahan di antara dua versi ini.
Anda boleh baca ulasan tersebut di pautan berikut – Ulasan Ratchet & Clank: Rift Apart (PS5).
Secara ringkasnya, penceritaan bagi permainan ini adalah mengenai Ratchet iaitu seekor lombax bersama dengan raka robotnya Clank. Pada awal permainan Clank telah menghadiahkan Ratchet sebuah “The Dimensionator”, iaitu alat yang boleh menghasilkan portal ke dimensi lain. Clank memberikan alat tersebut, agar Ratchet dapat pergi ke dimensi lain untuk mencari lombax-lombax yang lain.
Namun, keadaan menjadi kucar kacir apabila Doctor Nefarious juga untuk mencuri The Dimensionator tersebut, dan di dalam perebutan dengan Ratchet, alat tersebut meletup dan telah mencipta pelbagai portal dan memberi kesan kepada pelbagai planet. Ia juga telah membawa Ratchet ke satu dimensi baharu yang terdapat seekor lagi lombax iaitu Rivet.
Pengenalan watak baharu Rivet adalah antara perkara terbaik di dalam permainan ini kerana ia memberikan dinamik dua watak yang menjadikan penceritaan dan juga susunan kempen permainan lebih berlainan berbanding jika Ratchet sahaja watak utama di dalamnya.
Ratchet & Clank: Rift Apart adalah permainan pengembaraan dan Ratchet serta Rivet boleh menggunakan pelbagai senjata pada satu masa untuk menghasilkan variasi serangan dan juga untuk mengelakkan kehabisan peluru. Ratchet dan Rivet akan menggunakan senjata yang sama, termasuk juga peningkatan tahap yang dilakukan. Bagi saya ia sedikit mengecewakan dan berharap Ratchet dan Rivet mempunyai kelainan di dalam pertempuran, tetapi ia menjadikan permainan ini lebih ringkas yang mungkin satu perkara baik untuk anda.
Bagi versi PS5, saya meluangkan lebih kurang 16 jam untuk mendapat trofi platinum di dalam permainan ini yang boleh dianggap sebagai melakukan kesemua yang ditawarkan di dalamnya. Tempoh tersebut mungkin tidak terlalu panjang, akan tetapi apa yang diisikan adalah sangat baik dan saya mempunyai masa yang baik bermainnya, namun saya juga merasakan yang Insomniac Games mungkin boleh menambah lebih banyak aktivi sampingan dan kawasan untuk diteroka.
Ratchet & Clank: Rift Apart menyediakan tetapan yang meliputi banyak bahagian permainan yang memberikan saya pilihan untuk mencari tetapan yang menarik. Namun, bagi ulasan ini, saya menggunakan tetapan preset sahaja dengan penggunaan bersama DLSS tetapan Balanced.
Sebelum itu, berikut adalah spesifikasi PC yang saya guna semasa mencuba permainan ini;
Selepas mencuba beberapa tetapan saya boleh katakan yang tetapan terbaik adalah menggunakan Preset “High” dan kesemua Ray Tracing ditutup. Menggunakan tetapan ini ia memberikan prestasi melebihi 60FPS sehingga 80FPS dengan terdapat beberapa bahagian yang kadar kelancaran yang turun secara mendadak tetapi tidak terlalu kerap dan tidak menjejaskan pengalaman bermain, secara puratanya ia memberikan kadar kelancaran 73.3FPS yang anda boleh
Menggunakan tetapan yang sama, anda boleh membuka Ray Tracing dengan kualiti Medium untuk kesemuanya dan akan memberikan kadar kelancaran secara purata 42FPS yang sesuai jika ingin bermain permainan ini dengan had 30FPS. Namun, saya tidak merasakan membuka Ray Tracing adalah lebih baik berbanding bermain permainan dengan kelancaran yang lebih tinggi, terutama kadar jatuh mendadak semasa menggunakan ray tracing adalah lebih kerap.
Jika anda menggunakan PC dengan spesifikasi seperti saya, anda juga boleh memilih untuk menggunakan tetapan Very High dan mendapat kadar kelancaran lebih kurang dengan menggunakan Ray Tracing. Namun, jika anda memiliki grafik kad dengan VRAM yang lebih tinggi, sepatutnya tiada masalah untuk mendapatkan 60FPS dengan tetapan Very High.
Semasa permainan ini diumumkan, ramai yang tertanya bagaimana PC yang menggunakan HDD dapat bermain permainan ini yang dikatakan memerlukan teknologi storan PS5, dan menurut Nixxes, walaupun boleh ia tidak digalakkan kerana tidak akan memberikan pengalaman seperti yang diinginkan, terutama semasa menggunakan portal antara dimensi ini.
Saya menggunakan SSD, seperti yang saya nyatakan di atas dan saya boleh katakan yang memasuki portal, ataupun memasuki kawasan baharu boleh dikatakan segera akan tetapi tidak seperti yang saya alami di PS5, di PC walaupun nampak segera ada sedikit bingkai yang terhenti, menandakan pemuatan masih dilakukan walaupun tempohnya kurang daripada satu saat.
Perbezaan seterusnya untuk versi PC dan juga PlayStation 5 adalah sokongan kawalan menggunakan papan kekunci dan tetikus. Permainan ini boleh dimainkan dengan baik menggunakan input tersebut, ditambah lagi dengan permainan ini juga mempunyai banyak elemen menembak, oleh itu penggunaan tetikus menjadi lebih menarik.
Namun, permainan ini merupakan permainan yang menggunakan fungsi-fungsi DualSense yang baik seperti getaran dan juga picu penyesuai untuk membezakan jenis tembakan. Oleh itu, jika ada, saya lebih cadangkan untuk menggunakan DualSense, jika tidak papan kekunci dan tetikus tidak akan memberikan sebarang masalah.
Akhir kata, Ratchet & Clank: Rift Apart adalah satu port yang baik, dengan pelbagai teknologi di sebalik permainan ini, terutama dengan penggunaan storan, ia adalah perkara yang harus dipuji. Namun, bermain permainan ini di PC, akan memerlukan percubaan demi percubaan untuk mencari tetapan yang terbaik. Selain daripada itu, prestasi seperti skrin pemuatan dan penggunaan portal juga tidak sebaik di PS5.
Oleh itu, saya tidak boleh katakan yang versi PC adalah versi terbaik, jika anda memiliki PS5, saya lebih cadangkan untuk anda dapatkan permainan ini di konsol tersebut, jika tidak, versi PC masih boleh dimainkan dengan memuaskan.