Skip to main content

Selepas tiga filem terakhir untuk DC Extended Universe boleh dikatakan gagal – Black Adam, Shazam! Fury of the Gods, dan The Flash – Blue Beetle hadir dengan tiadanya harapan yang tinggi oleh Warner Bros Pictures. promosi untuk filem ini juga bukan sahaja mungkin dikurangkan oleh Warner Bros untuk mengurangkan kos, tetapi juga berkait dengan mogok yang sedang dilakukan oleh penulis dan pelakon Amerika Syarikat.

Dengan segala kekurangan ini, agak mengecewakan kerana saya boleh katakan sekarang yang Blue Beetle adalah filem DC yang saya akhirnya bukan sahaja suka tetapi sangat berminat untuk melihat apa yang seterusnya bagi watak ini. Saya juga boleh katakan yang Blue Beetle adalah filem terbaik oleh DC selepas The Batman yang dikeluarkan lebih setahun yang lepas.

Sebagai satu filem Blue Beetle, watak dan fokus utama sudah semestinya Blue Beetle ataupun Jaime Reyes lakonan Xolo Mariduena akan tetapi saya merasakan yang filem ini berjaya untuk mengangkat watak-watak lain untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan watak Blue Beetle, terutama ahli keluarga Jaime Reyes iaitu nenek, ibu, bapa, adik dan juga pak cik.

Mereka memainkan peranan yang sangat penting untuk menjadi pembantu kepada Jaime dan juga memainkan peranan penting untuk membawa gelak tawa kepada saya. Ini sangat diperlukan kerana Jaime Reyes walaupun di bawa dengan baik, adalah watak yang agak lemah di dalam keseluruhan filem ini.

Sebab utama bagi saya adalah ini merupakan cerita permulaan ataupun ‘origin story‘ yang agar sukar untuk dilakukan, dan tidak mengejutkan filem seperti The Batman tidak melakukannya dan menjadi filem terbaik oleh DC untuk sekian lama. Jaime Reyes masih tidak pasti dengan kuasa yang diperolehnya dan tidak tahu apa tujuan hidupnya. Perkara ini memberikan perkembangan watak yang baik tetapi kurang menarik secara umumnya.

Watak jahat utama di dalam filem ini adalah Victoria Kord lakonan Susan Sarandon, yang memainkan watak jahat yang saya rasakan agak biasa, tiada apa yang istimewa tetapi masih lagi watak yang mencukupi untuk menjadi musuh kepada Blue Beetle. Pembantu untuk Victoria Kord adalah Conrad Carapax ataupun Industructible Man lakonan Raoul Max Trujillo yang menjadi watak jahat kedua dan lebih banyak mempunyai adegan melawan Blue Beetle.

Conrad Carapax adalah watak yang lebih menarik akan tetapi terasa bahagian yang penting bagi wataknya disampaikan terlalu lambat ataupun terlalu mengejut yang membuatkan kesan emosi sedikit kurang berbanding yang sepatutnya.

Satu lagi watak penting di dalam filem ini adalah Jenny Kord lakonan Bruna Marquezine iaitu anak saudara kepada Victoria Kord tetapi dia tidak menyukai mak saudaranya itu yang ingin menjadikan Kord sebagai satu syarikat tentera. Seperti yang anda lihat di dalam treler Jenny Kord adalah yang bertanggungjawab untuk memberikan scarab kepada Jaime Reyes yang memberikannya kuasa Blue Beetle.

Selepas kejadian ini, perhubungan mereka semakin rapat dan Jenny Kord memainkan peranan yang baik untuk membantu Jaime Reyes faham dengan apa yang berlaku dan juga menjadi ‘pasangan cinta’ kepadanya. Namun, saya merasakan watak Jenny Kord agak mengelirukan, pada awalnya kelihatan seperti dia tidak tahu apa-apa, kemudian dia mengetahui lebih daripada itu. Tambahan itu, kisah cinta di antara mereka berdua juga terasa dilakukan dengan terlalu cepat yang memberi kurang impak.

Keseluruhannya, penceritaan adalah baik walaupun masih lagi boleh dianggap sebagai satu lagi filem adiwira. Namun, ia dilakukan dengan baik yang membuatkan saya mempunyai masa yang baik untuk menontonnya. Seperti yang saya katakan di atas, ini dibantu dengan watak-watak menarik yang hadir terutama keluarga Jaime Reyes yang saya boleh katakan sebagai ‘MVP’ bagi filem ini. Saya juga menyukai filem ini mempunyai banyak subtext mengenai layanan kepada ‘pendatang’.

Filem adiwira sudah semestinya ada pertempuran dan juga babak-babak yang mengguna pakai kuasa adiwira ini, saya boleh katakan yang adegan-adegan ini dilakukan dengan baik. Ia tidak memperlihatkan sesuatu yang mempunyai bajet yang besar tetapi ia dilakukan dengan mencukupi untuk menjadikannya menarik untuk ditonton. Mungkin tidak semua bersetuju, tetapi saya gembira kerana adegan-adegan ini tidak menjadi fokus utama bagi filem ini.

Akhir kata, Blue Beetle bukanlah filem adiwira terbaik, tetapi saya dengan mudahnnya mengatakan yang ia adalah filem terbaik dan paling saya suka oleh DC selepas The Batman. Ia mempunyai penceritaan serta perwatakan yang mencukupi, disampaikan dengan kemas dan dibantu dengan tidak satu ataupun dua sahaja watak yang penting tetapi kesemua watak memainkan peranan tersendiri.

Kisah origin story telah membuatkan sesetengah bahagian menjadi sedikit membosankan, ia juga tidak membantu watak Jaime Reyes, tetapi selepas kesemua itu selesai, walaupun sedikit lewat, ia masih lagi memberi pengakhiran yang memuaskan. Filem Blue Beetle bukanlah sebahagian daripada DCU yang baru dibentuk oleh James Gunn dan Peter Safran, akan tetapi James Gunn sudah mengatakan yang Blue Beetle atau Jaime Reyes adalah watak pertama di dalam DCU dan saya berharap jika Blue Beetle kembali, tanpa bebanan kisah permulaan, ia akan menjadi satu filem yang lebih baik dan menarik.

Penafian: Tayangan untuk Blue Beetle disediakan oleh Warner Bros Malaysia bagi tujuan ulasan ini

Blue Beetle
Blue Beetle adalah satu lagi filem adiwira secara umumnya dan juga satu lagi daripada DC. Namun, ia adalah filem terbaik berbanding tiga filem DC yang lepas. Penceritaan secara keseluruhannya adalah menarik walaupun bahagian 'origin story' sedikit membosankan. Filem ini diperkuatkan dengan watak kekeluargaan yang baik
Positif
Ramai Watak Yang Memainkan Peranan Penting
Penceritaan Yang Menyeronokkan
Adegan-adegan Adiwira Ringkas Tetapi Menarik
Negatif
'Origin Story' Sedikit Membosankan
Perhubunga Sesetengah Watak Dilakukan Dengan Terlalu Gopoh
8

Leave a Reply