Konami hari ini telah menganjurkan majlis pelancaran untuk eFootball 2024 iaitu kemaskini utama untuk permainan simulasi bola sepak mereka. Ketika acara ini, mereka mengatakan yang ia akan tiba sekitar bulan September ini tetapi masih tiada sebarang tarikh tetap.
Ketika acara ini, penerbit untuk eFootball 2024 Makoto Igarashi telah berkongsi lanjut mengenai apa yang boleh dijangkakan daripada versi terbaru untuk permainan ini. Antara yang dikongsi adalah sistem memecut (dash) yang baharu, membolehkan pemain mengawal pergerakan dengan lebih baik dan juga memberi lebih kawalan kepada pemain semasa bola berada di udara.
Selain itu, acara ini juga memperlihatkan pertandingan eFootball melibatkan pencipta kandungan dan juga selebriti tempatan seperti Safee Sali, Tunku Rania, Soloz dan Lewis di mana mereka berpasukan dengan pemain esukan eFootball seperti Haikal dan Faizal dari pasukan esukan JDT|GBX.
Media yang berkunjung ke acara ini juga diberi peluang untuk mencuba lebih awal eFootball 2024 sebelum pelancaran untuknya kelak. eFootball 2024 akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, PC, iOS dan Android.