Netflix hari ini dilaporkan mula menguji penstriman permainan video melibatkan pelanggan perkhidmatan tersebut di UK dan Kanada (dilaporkan oleh VGC). Buat masa ini, ia boleh diakses melalui TV dengan sokongan untuk PC dan Mac akan tiba tidak lama lagi melalui pelayar web.
Pemain boleh mengawal permainan ini menggunakan Netflix Game Controller iaitu aplikasi di telefon pintar iOS dan Android. Manakala di PC, pemain boleh menggunakan papan kekunci dan juga tetikus.
Antara TV yang menyokong penstriman ini adalah Samsung, LG TV dan juga kotak TV seperti Nvidia Shield TV, Roku, Amazon Fire dan Chromecast. Permainan yang boleh dicuba adalah Oxenfree dan juga Mining Adventure.
Netflix sejak beberapa tahun yang lepas telah menambah penawaran mereka di dalam permainan video dan menyasarkan untuk hadir dengan 40 permainan baharu pada tahun ini. Buat masa ini, permainan perlu di pasang di peranti pintar untuk dimainkan, penambahan sokongan penstriman sudah semestinya akan menjadi ia lebih mudah.