EA telah melancarkan kemaskini untuk FIFA 23 yang antaranya menyertakan model bagi pemain Nouhaila Benzina iaitu pemain bola sepak wanita untuk Morocco yang mewakili negara tersebut di kejohanan Piala Dunia Wanita yang sedang berlangsung di Australia dan New Zealand.
Nouhaila Benzina adalah pemain bola sepak wanita pertama yang memakai hijab di temasya Piala Dunia, dan EA telah mengabadikan perkara tersebut di dalam permainan FIFA 23. Mod untuk Piala Dunia Wanita sudah tiba di dalam FIFA 23 pada bulan Jun lepas, tetapi tidak semua pemain disertakan di dalamnya, termasuk juga Nouhaila Benzina sendiri.
Jika anda ingin bermain sebagai Nouhaila Benzina, buat masa ini kami hanya dapat mengaksesnya melalui ‘Lead Your Country’ di dalam mod untuk Piala Dunia Wanita dan beliau tidak disertakan di dalam mod-mod lain, mungkin akan dikemaskini oleh EA tidak lama lagi.
FIFA 23 sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC. Kami juga telah mengeluarkan ulasan untuk FIFA 23 dan anda boleh baca di pautan berikut; Ulasan FIFA 23 – Beralih Ke Generasi Baharu.