Saya bukanlah penggemar permainan lumba kereta tidak kira simulasi ataupun arked, namun sejak daripada PlayStation sehingga PlayStation 5, Gran Turismo adalah permainan yang saya sentiasa cuba dan mempunyai bahagian yang istimewa di dalam minat saya untuk permainan video. Namun, ini adalah ulasan untuk filem Gran Turismo dan bukan permainan itu sendiri, jika berminat, saya ada ulas Gran Turismo 7.
Gran Turismo adalah filem berdasarkan kisah benar mengenai Jann Mardenborough iaitu seorang pemain Gran Turismo tegar yang memenangi GT Academy untuk memberikannya peluang menjadi seorang pelumba kereta sebenar. Di dalam filem ini Jann Mardenborough dilakonkan oleh Archie Madekwe, selain itu terdapat juga watak Jack Salter lakonan David Harbour yang menjadi jurulatih untuk Jann dan juga Danny Moore lakonan Orlando Bloom, eksekutif pemasaran di Nissan yang hadir dengan idea GT Academy ini.
Sepanjang 2 jam 13 minit filem ini, saya boleh katakan yang ia mempunyai bahagian-bahagian yang menarik tetapi terlalu banyak bahagian yang penyampaian kurang menjadi, dan membuatkannya membosankan. Bagi saya, masalah utama filem ini adalah mereka tidak percaya yang satu filem mengenai seorang yang ingin berjaya di dalam bidang perlumbaan cukup menarik untuk dijadikan satu filem, sebaliknya mereka perlu menambah beberapa lagi penceritaan sampingan yang bagi saya mengganggu pacing penceritaan ini, dan menjadikan bahagian penting terasa disisihkan.
Filem ini pada awalnya bermula dengan memperlihatkan bagaimana ayah Jann iaitu Steve Mardenborough lakonan Djimon Hounsou tidak menyokong cita-cita Jann untuk menjadi pelumba kereta kerana Jann sekadar menghabiskan masa bermain Gran Turismo di dalam biliknya, ia adalah plot yang baik tetapi terasa janggal kerana hanya muncul pada awal dan akhir penceritaan sahaja, sedangnkan di pertengahan dimasukkan pula Audrey lakonan Maeve Courtier-Lilley yang menjadikan kekasih Jann, watak Audrey juga hadir dengan tiba-tiba dan hilang tiba-tiba sebelum muncul kembali.
Penyusunan penceritaan ini menjadikannya sedikit bercelaru, yang membuatkan kesan emosi bagi perhubungan di antara Jann dan bapanya tidak terlalu sampai kepada saya sebagai penonton. Perkara ini sekurang-kurangnya adalah lebih baik jika bercakap mengenai perhubungan antara Jann dan juga Jack Salter, mungkin kerana mereka diberi peluang yang lebih lama dan sentiasa konsisten hadir di dalam penceritaan berbanding watak-watak lain yang terasa seperti satu misi sampingan sahaja.
Saya juga filem ini mempunyai masalah kerana memaksa untuk hadir dengan watak antagonis, ia sudah menjadi kebiasaan dan menjadi penarik untuk setiap filem mempunyai watak jahat, akan tetapi saya merasakan di dalam dunia lumba kereta, semangat ingin menang itu sudah mencukupi untuk menjadikan penceritaan yang menarik walaupun tanpa watak-watak yang cuba “membunuh” sesama sendiri, yang membuatkan saya merasakan filem ini adalah sekadar filem lumba arked berbanding satu simulasi dunia lumba kereta yang sebenar.
Saya mengatakan yang percubaan mereka untuk membawa pelbagai penceritaan lain menjadi kelemahan filem ini adalah kerana apabila mereka memfokuskan kepada topik utama yang sepatutnya di dalam filem ini iaitu lumba kereta, barulah filem ini menjadi lebih menarik.
Bahagian paling berjaya memberikan saya emosi di dalam filem ini juga adalah bahagian yang melibatkan lumba kereta itu sendiri. Jika filem ini lebih memfokuskan kepada bagaimana Jann melalui GT Academy, dan bagaimana dia berlatih serta berusaha untuk menjadi pelumba yang berjaya, saya rasakan ia akan memberikan pengalaman yang lebih baik terutama kerana ini adalah filem mengenai Gran Turismo itu sendiri.
Selain daripada itu, satu lagi perkara mengecewakan adalah adegan-adegan lumba kereta, walaupun ada masa memberikan perasaan yang thrilling akan tetapi secara keseluruhannya sedikit mengecewakan. Perlumbaan sering disunting untuk diperlihatkan secara dekat, tidak kira di dalam kereta ataupun memperlihatkan bahagian kereta seperti brek ataupun enjin, yang menarik pada awalnya tetapi saya lebih sukakan jika sesi perlumbaan ini diperlihatkan dengan lebih jelas, ada masa saya tidak tahu apa yang sedang berlaku, melainkan Jann sedang berada di kedudukan yang mana.
Akhir kata, filem Gran Turismo ini adalah satu filem yang akan memberi impak emosi kepada penonton, terutama mengenai satu bahagian yang penting di dalam karier Jann Mardenborough, akan tetapi filem ini banyak terganggu dengan bahagian-bahagian serta plot sampingan yang tidak disampaikan dengan baik, mencacatkan pengalaman bagi filem ini. Seperti saya nyatakan di atas, filem ini tidak percaya yang kisah menjadi pelumba kereta adalah menarik untuk disampaikan sebagai satu penceritaan, sedangkan apabila saya tonton filem ini, itulah perkara yang saya lebih inginkan. Oleh itu, agak mengecewakan filem ini kurang memberikan perkara tersebut, namun masih lagi satu tontonan yang baik terutama yang ingin mengetahui lanjut mengenai Jann Mardenborough ini.
Penafian: Tayangan untuk Gran Turismo disediakan oleh Sony Pictures Malaysia bagi tujuan ulasan ini.