10 Filem Menarik Bulan Ogos 2023

Bulan Julai lepas boleh dikatakan antara bulan yang berjaya bagi kutipan di pawagam yang disumbangkan oleh tiga filem utama iaitu Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One, Barbie dan juga Oppenheimer. Ketiga-tiga filem ini telah menyumbangkan lebih $1.7 bilion untuk kutipan pada bulan lepas.

Bagi bulan Ogos ini, mungkin tiada filem-filem yang besar seperti tiga bulan lepas, akan tetapi tidak bermaksud yang tiada filem menarik. Bulan ini juga menyertakan pelbagai filem daripada genre berlainan. Seperti biasa susunan bagi artikel ini adalah mengikut tarikh tayangan dan bukan mengikut ‘tahap menarik’.

Tarikh tayangan adalah berdasarkan cinema.com.my dan mungkin akan berubah dari semasa ke semasa.

1. Meg 2: The Trench

Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2023

Jason Statham kembali untuk melawan jerung gergasi melalui filem Meg 2: The Trench yang merupakan filem susulan kepada The Meg yang dikeluarkan pada tahun 2018. Meg 2 diarahkan oleh Ben Wheatley dengan senarai pelakon adalah seperti Jason Statham, Wu Jing, Page Kennedy dan Cliff Curtis.

2. Mat Tudung Begins

Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2023

Filem susulan untuk Mat Tudung yang dikeluarkan pada 2014, Mat Tudung Begins sekali lagi memperlihatkan Fizz Fairuz berlakon sebagai Johari dan perlu menyamar menjadi perempuan dan kali ini untuk mendekati pengulas hotel. Filem ini diarahkan oleh Fizz Fairuz yang juga berlakon bersama dengan Acey Bocey, Fazlina Ahmad Daud, Jasmin Hamid dan Riezman Khuzaimi.

3. Rahsia

Tarikh Tayangan: 10 Ogos 2023

Rahsia adalah filem olahan semula berdasarkan filem berjudul sama yang dikeluarkan pada 1987 dan diarahkan oleh Othman Hafsham manakala filem olahan semula ini diarahkan oleh Shamyl Othman iaitu anaknya. Filem ini adalah mengenai Ramlah lakonan Nabila Huda yang kehilangan anaknya di pantai sebelum pelbagai kejadian misteri berlaku. Pelakon lain adalah Fikry Ibrahim, Eman Manan, Marsha Milan Londoh dan Rashidi Ishak.

Baca: Ulasan Rahsia

4. The Flood

Tarikh Tayangan: 10 Ogos 2023

Jika Meg 2 adalah mengenai jerung gergasi, manakala The Flood pula adalah mengenai buaya gergasi. Filem ini adalah mengenai banduan yang cuba melarikan diri daripada penjara tetapi telah dihalang oleh buaya yang sesat selepas ribut. Filem ini diarahkan oleh Brandon Slagle dengan senarai pelakon seperti Nicky Whelan, Casper Van Dien, Devanny Pinn dan Randy Wayne.

5. Blue Beetle – 17 Ogos

Tarikh Tayangan: 17 Ogos 2023

Filem pengenalan untuk watak baharu di dalam DC Universe iaitu Blue Beetle. Filem ini tidak disahkan jika sebahagian daripada DCU baharu, akan tetapi James Gunn telah mengatakan yang Blue Beetle adalah watak pertama di dalam permulaan semula DCU ini. Filem ini diarahkan oleh Angel Manuel Soto dengan Xolo Mariduena sebagai Jaime Reyes ataupun Blue Beetle bersama Harvey Guilen, Susan Sarandon dan Becky G sebagai pelakon suara untuk Khaji-Da.

6. Malbatt: Misi Bakara

Tarikh Tayangan: 24 Ogos 2023

Filem berdasarkan kisah benar kejadian Black Hawk Down pada tahun 1993 yang memperlihatkan sumbangan tentera Malaysia. Filem yang boleh dikatakan sebagai filem termahal di Malaysia juga akan menjadi filem tempatan pertama yang akan ditayangkan di pawagam IMAX. Filem ini diarahkan oleh Adrian Teh dengan senarai pelakon seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, dan Zahiril Adzim.

7. Teenage Mutant Ninja Turtles: Mutant Mayhem

Tarikh Tayangan: 24 Ogos 2023

Filem animasi ini membawa kembali adiwira-adiwira kegemaran ramai iaitu Teenage Muntant Ninja Turtle yang disampaikan dengan gaya dan pembawaan yang lebih segar. FIlem ini diarahkan oleh Jeff Rowe dengan senarai pelakon suara seperti Micah Abbey, Shamon Brown Jr. Nicolas Cantu, Brandy Noon dan Ayo Edebiri.

8. Gran Turismo

Tarikh Tayangan: 24 Ogos 2023

Filem berdasarkan kisah benar mengenai Jann Mardenborough iaitu seorang pemain permainan simulasi lumba kereta Gran Turismo yang menyertai kejohanan untuk menjadi pelumba kereta sebenar. Filem ini diarahkan oleh Neill Blomkamp dengan senarai pelakon seperti Archie Madekwe, David harbour, Orlando bloom dan Geri Horner.

9. Psycho-Pass Providence

Tarikh Tayangan: 24 Ogos 2023

Filem animasi terakhir untuk Psycho-Pass ini merupakan filem prekuel kepada Psycho-Pass musim 3 dan berlaku selepas trilogi filem Psycho-Pass: Sinners of the System. Filem ini diarahkan oleh Naoyoshi Shiotani dan memperlihat kembali gandingan penulis Makoto Fukami, Tow Ubukata dan Gen Urobuchi.

10. The Equalizer 3

Tarikh Tayangan: 31 Ogos 2023

Denzel Washington kembali lagi menjadi Robert McCall untuk filem ketiga The Equlizer yang memperihatkan dia berada di Itali dan terlibat dengan peperangan dengan kumpulan jenayah tempatan yang melibatkan rakannya. Filem ini diarahkan oleh Antoine Fuqua dan selain Denzel Washington, ia juga melibatkan Dakota Fanning, David Denman, Soniar Ammar dan Eugenion Mastrandrea.

Sohor Kini