Warner Bros. hari ini telah memberikan kenyataan kepada Deadline meminta maaf kerana kongsi meme ‘Barbenheimer’ di sosial media X mereka. Meme ini menggabungkan poster filem Barbie dan Oppenheimer yang dihasilkan kerana kedua-dua filem berkongsi tarikh mula tayangan iaitu 20 Julai lepas.
Permintaan maaf ini hadir selepas cawangan Warner Bros. di Jepun telah mengeluarkan kenyataan mengatakan yang mereka sangat kecewa dengan akaun rasmi Warner Bros. Amerika Syarikat yang melakukan perkongsian tersebut. Mereka juga meminta maaf kepada sesiapa yang terkesan dengan perkongsian tersebut.
Perkara ini mungkin satu jenaka sahaja untuk kebanyakan orang di serata dunia, akan tetapi bagi negara Jepun yang masih lagi terkesan dengan pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Tambahan lagi, pengeboman tersebut berlaku pada bulan ini yang juga menjadi topik di dalam filem Oppenheimer.
Sebilangan pengguna media sosial di Jepun juga telah memulakan kempen #NoBarbenheimer untuk mengkritik gabungan promosi ini. Perkara ini juga telah menjadi isu politik di Jepun.
Filem Barbie akan ditayangkan di Jepun pada 11 Ogos, manakala Oppenheimer buat masa ini masih tidak mempunyai tarikh tayangan, walaupun tiada sebarang tanda-tanda yang ia akan diharamkan di negara tersebut.