VGC hari ini telah melaporkan yang Nintendo menyasarkan pertengahan kedua tahun depan untuk mengeluarkan konsol generasi seterusnya daripada mereka. Konsol ini, yang masih tidak mempunyai sebarang pengesahan ataupun nama dikatakan akan terus menjadi satu konsol mudah alih hibrid.
Selain itu, konsol ini juga akan dilancarkan dengan skrin LCD berbanding OLED bagi Nintendo Switch yang terkini, menurut laporan tersebut penggunaan LCD adalah untuk mengurangkan kos terutama konsol ini dijangka akan mempunyai storan dalaman yang lebih besar kerana akan mendapat permainan-permainan yang grafik lebih berkualiti.
Selain bermain permainan secara digital, konsol generasi baharu ini juga masih lagi menyokong kartrij seperti Nintendo Switch, namun tiada pengesahan jika konsol ini menyokong kartrij daripada Nintendo Switch. Nintendo secara berdasarkan sejarah tidak mempunyai rekod yang baik di dalam bahagian keserasian belakang.
Laporan ini juga mengatakan yang kit pembangunan untuk konsol generasi baharu ini sudah diedarkan kepada pembangun dan penerbit permainan. Sasaran utama bagi Nintendo adalah untuk melancarkan konsol ini tanpa masalah rantaian bekalan seperti yang berlaku ke atas PlayStation 5 dan juga Xbox Series.
Jika laporan ini adalah benar, Nintendo berkemungkinan besar telah membatalkan perancangan mereka untuk mengeluarkan “Nintendo Switch Pro” seperti yang dijangkakan dan beralih terus ke konsol generasi baharu.