HP hari ini telah mengumumkan secara rasmi penawaran terbaru untuk komputer riba yang memfokuskan permainan video iaitu bagi jenama Omen dan juga Victus. Mereka telah mengumumkan HP Omen Transend 16, HP Omen 16 dan juga HP Victus 16.
HP Omen Transcend 16 merupakan laptop HP yang memfokuskan kepada gaming paling nipis dan juga ringan. Ia hadir dengan skrin 16″ dengan resolusi 2560 x 1600, panel mini-LED, kadar segar semula sehingga 240Hz dan kadar tempoh reaksi 5ms. Ia hadir dengan pilihan pemprosesan Intel Core i7 ataupun AMD Ryzen 9 dengan harga RM10,999.
HP Omen 16 hadir dengan paparan 16,1″ dengan tiga pilihan paparan iaitu QHD (2560 x 1440) dengan kadar segar semula sehingga 240Hz, kadar tempoh reaksi 3ms, atau FHD (1920 x 1080), kadar segar semula sehingga 165Hz, kadar tempoh reaksi 7ms, dan FHD (1920 x 1080) dengan kadar segar semula sehingga 144Hz – kesemuanya menggunakan panel IPS.
Ia hadir dengan pilihan pemprosesan Intel Core i5, Intel Core i7 dan Intel Core i9 ataupun AMD Ryzen 5, AMD Ryzen 7, dan AMD Ryzen 9 dengan pilihan kad grafik RTX 3050 dan siri RTX 40. HP Omen 16 akan ditawarkan dengan harga bermula RM6,899.
HP Victus 16 pula seperti biasa merupakan penawaran komputer riba gaming yang lebih mampu milik oleh HP dan kali ini turut menggunakan teknologi Tempest Cooling. Ia akan ditawarkan dengan beberapa pilihan paparan bersaiz 16.1″ dengan resolusi sehingga QHD dan kadar segar semula sehingga 240Hz – kesemua pilihan ini menggunakan panel IPS. Komputer riba ini juga hadir dengan pilihan pemprosesan oleh Intel ataupun AMD, kad grafik sehingga RTX4070 dengan harga bermula RM4,149.
HP Omen 16 dan HP Victus 16 akan ditawarkan tidak lama lagi melalui laman HP ataupun pengedar rasmi, manakala HP Omen Transcend 16 akan tiba pada bulan Ogos ini. Bagi tawaran masa terhad setiap pembelian HP Omen 16 juga akan hadir bersama dengan set kepala HyperX bernilai sehingga RM169 dan juga kredit untuk Touch ‘n Go dan juga Grab sehingga RM200.
Anda boleh layari laman HP Gaming untuk maklumat lanjut.