Pada tahun lepas, telah dilaporkan yang Ben Affleck akan kembali menjadi Batman di dalam filem Aquaman and the Lost Kingdom, ini adalah selepas penglibatan Michael Keaton dibatalkan akibat penukaran tarikh penggambaran.

Perancangan awal adalah untuk memperkenalkan Batman lakonan Michael Keaton di dalam Aquaman and the Lost Kingdom terlebih dahulu sebelum watak tersebut tiba di dalam The Flash. Namun, seperti kita sedia maklum The Flash ditayangkan terlebih dahulu.

Baca: Ulasan The Flash

Ben Affleck kemudian dilaporkan menjadi pengganti kepada Michael Keaton untuk kembali menjadi Batman di dalam filem kedua Aquaman ini. Melalui laporan terbaru oleh THR, James Gunn dan Peter Safran yang menyelia kandungan DC Universe, tidak ingin melibatkan langsung Batman di dalam filem ini.

Menurut laporan tersebut, James Gunn dan Peter Safran tidak ingin menjanjikan satu kesinambungan yang tidak akan berterusan dan juga tidak ingin ia terlalu berkait dengan projek-projek yang gagal sebelum ini bagi mengelak kekeliruan mengenai DC Universe yang baharu ini.

Filem-filem yang dikeluarkan pada tahun ini iaitu The Flash, Aquaman and the Lost Kingdom dan juga Blue Beetle bukanlah filem DCU akan tetapi James Gunn telah mengesahkan Blue Beetle adalah watak pertama untuk DCU yang baharu ini.

Blue Beetle akan ditayangkan pada 17 Ogos ini manakala Aquaman and the Lost Kingdom yang sepatutnya tiba pada bulan Disember, dilaporkan akan ditunda ke tahun depan kerana mogok oleh SAG-AFTRA dan juga Writers Guild of America.

Sohor Kini