Selain mengumumkan PlayStation 5 rekaan Marvel’s Spider-Man 2, Insomniac Games juga telah berkongsi treler penceritaan untuk permainan tersebut yang anda boleh tonton di bawah.
Treler ini buat pertama kalinya memperlihatkan Harry Osborn yang sudah diacah di bahagian akhir permainan pertama. Harry kelihatan sakit dan perlu disembuhkan yang berkemungkinan besar menjadi punca kepada bermulanya symbiote sebelum berpindah kepada Peter Parker.
Melalui penulisan di PlayStation Blog, Insomniac Games juga mengatakan yang penceritaan juga akan menyentuh kesukaran untuk kedua-dua Spider-Man iaitu Peter Parker dan Miles Morales menjadi ‘adiwira’ dan juga manusia biasa.
Peter Parker mempunyai masalah kewangan dan juga pelajaran, manakala Miles Morales masih dihantui dengan kematian bapanya yang dibunuh oleh Mister Negative, yang diacahkan akan kembali di dalam treler di atas.
Marvel’s Spider-Man 2 akan dilancarkan pada 20 Oktober 2023 untuk PlayStation 5.