Insomniac Games ketika San Diego Comic-Con telah mengumumkan yang buat pertama kali PlayStation 5 akan menerima rekaan khas berdasarkan permainan iaitu dengan rekaan berdasarkan Marvel’s Spider-Man 2.
Mereka menggunakan rekaan berwarna merah dan hitam yang menggambarkan symbiote iaitu tema utama bagi permainan ketiga di dalam siri ini. Logo Spider-Man akan dipamerkan di bahagian depan dan juga belakang. DualSense juga akan menerima rekaan khas ini.
Rekaan ini akan ditawarkan di dalam satu berkas yang akan turut menyertakan kod Standard Edition untuk Marvel’s Spider-Man 2. Jika anda sudah memiliki PlayStation 5, setiap rekaan ini juga ditawarkan secara berasingan iaitu Cover PlayStation 5 dan juga DualSense.
Sesi pra-tempahan untuk PlayStation 5 Marvel’s Spider-Man 2 ini akan bermula pada 28 Julai, namun buat masa ini mereka masih tidak mengumumkan harga. Berkas PS5 Marvel’s Spider-Man 2 akan tiba pada 15 September di Malaysia, manakala Cover dan juga DualSense sahaja akan tiba pada 1 September.
Marvel’s Spider-Man 2 akan dilancarkan pada 20 Oktober 2023 untuk PlayStation 5.