Skip to main content

Mungkin sedikit terlambat, akan tetapi kita sudah memasuki pertengahan tahun bagi tahun 2023 dan kami sudah mengeluarkan ulasan 31 filem setakat bulan Jun, ini termasuklah yang memasuki pawagam dan juga yang dikeluarkan secara terus ke penstriman.

Oleh itu, melalui artikel ini kami akan senaraikan filem-filem yang mendapat ulasan terbaik.Kami melakukan susunan mengikut skor yang diberikan, bagi filem-filem yang mendapat skor yang sama boleh dianggapkan berada di kedudukan yang sama.

1. John Wick 4

John Wick kali ini memburu High Table kerana tidak puas hati dengan keputusan mereka. Tetapi beliau telah dihalang oleh High Table dengan mereka menghantar lebih banyak pembunuh dan memaksa kawan baik berubah menjadi musuh. Ini adalah filem aksi ngeri terbaik pernah ditayangkan, penuh dengan drama serta turut ada komedi. Peminat John Wick pasti akan gembira dengan filem ini.

Ulasan John Wick 4 | Skor: 10/10

2. Spider-Man: Across the Spider-Verse

Satu surat cinta untuk peminat animasi dan Spider-Man adalah rumusan terbaik bagi filem ini, walaupun penonton akan keluar dengan perasaan tidak puas dan ingin lebih lagi. Pengalaman tontonan sangat baik melalui penceritaan dan juga kepelbagaian animasi yang berbeza.

Ulasan Spider-Man: Acros the Spider-Verse | Skor: 9/10

3. Imaginur

Imaginur adalah filem penuh dengan imaginasi dan juga cahaya misteri yang membantu memberikan pengalaman yang baik untuk ditonton. Penceritaan yang disampaikan adalah menarik dengan lakonan berkualiti walaupun satu filem yang ringkas.

Ulasan Imaginur | Skor: 9/10

4. The Fabelmans

The Fabelmans adalah satu filem yang bukan sahaja mengenai cantiknya seni penghasilan filem tetapi juga mengenai perhubungan di antara keluarga yang disampaikan dengan sangat berkesan dan lakonan yang hebat oleh kesemua yang terlibat.

Ulasan The Fabelmans | Skor: 9/10

5. Guardians of the Galaxy Vol. 3

Filem terakhir Guardians of the Galaxy James Gunn ini membawa penonton ke kisah mendukakan mengenai Rocket Raccoon. Filem ini akan menyentuh hati dan membuatkan air mata mengalir. Ia turut menyertakan musuh yang mengerikan. Filem ini padat dengan aksi, drama hebat, perkembangan watak yang baik, komedi menggelikan hati dan pasti sukar untuk melupakannya.

Ulasan Guardians of the Galaxy Vol. 3 | Skor: 9/10

6. The Flash

Filem solo pertama The Flash ini adalah filem DCEU (ke sudah DCU?) terbaik pernah aku saksikan. Ia menyampaikan kisah Flashpoint yang rumit dalam penceritaan yang mudah dihadam. Konsep merentas masa, multimesta dan elemen-elemen The Flash turut diperlihatkan dengan bagus. Ini adalah filem khusus untuk peminat DC dan The Flash.

Ulasan The Flash | Skor: 9/10

7. Didi and Friends The Movie

Didi & Friends The Movie adalah kisah Didi dan kawan-kawan. Dalam filem ini, Didi lakukan satu kesilapan besar dan demi membaiki kesilapan itu, beliau lalui pengembaraan yang tidak disangka dan bertemu dengan kenalan baharu. Filem animasi baharu tempatan ini penuh dengan aksi, drama serta pengajaran – dan sudah semestinya komedi yang mencuit hati.

Ulasan Didi and Friends The Movie | Skor:8/10

https://www.youtube.com/watch?v=yay3Ec2HqLg

8. Polis Evo 3

Memori pahit Inspektor Sani iaitu Reza (Sharnaaz Ahmad) tiba-tiba muncul untuk membalas dendam mengancam persahabatan bersama Inspektor Khai. Filem ini lebih serius, matang, dan lebih fokus kepada perkembangan watak. Kualiti produksi dan aksi gempak juga pasti akan membuatkan anda ingin duduk diam di panggung.

Ulasan Polis Evo 3 | Skor: 8/10

9. Renfield

Renfield adalah satu filem aksi yang ganas dengan setiap adegan dipenuhi darah tetapi mempunyai selingan yang mencukupi untuk mengembangkan watak-watak di dalam filem ini, menjadikan satu filem ringkas tetapi sangat seronok untuk ditonton.

Ulasan Renfield | Skor: 8/10

10. Ant-man and The Wasp Quantumania

Ant-Man, Wasp, Cassie, Janet dan Hank terperangkap dalam Quantum Realm dan perlu berdepan dengan Kang the Conqueror – mungkin musuh paling menggerunkan dalam sejarah MCU. Filem ini adalah pembukaan MCU Fasa 5 yang baik dengan cerita yang memuaskan, watak yang hebat dan pengenalan dunia baharu yang lebih mendalam.

Ulasan Ant-man and The Wasp Quantumania | Skor: 8/10

11. Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves

Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves adalah satu filem pengembaraan fantasi yang baik dan mempunyai perwatakan menarik untuk menjadikan pengalaman tontonan yang epik. Penceritaan adalah ringkas tetapi berjaya disampaikan dengan berkesan dan juga penggunaan watak yang mendalam.

Ulasan Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves | Skor: 8/10

12. A Man Called Otto

A Man Called Otto adalah satu filem drama komedi yang sangat ringkas tetapi menyampaikan penceritaan dengan berkesan memberi pelbagai emosi kepada penonton. Lakonan setiap pelakon adalah berkesan walaupun sedikit terganggu dengan adegan imbas kembali.

Ulasan A Man Called Otto | Skor: 8/10

13. The Super Mario Bros. Movie

The Super Mario Bros. Movie adalah satu filem yang cukup menarik dan memberikan pengalaman yang baik untuk peminat Super Mario dan juga sekadar penonton filem animasi. Sedikit mengecewakan kerana beberapa bahagian tidak dikembangkan lagi.

Ulasan The Super Mario Bros. Movie | Skor: 8/10

14. The Covenant

Filem ini memperlihatkan betapa negerinya peperangan Afghanistan dan penuh dengan emosi dan aksi menarik. Menjayakan filem ini adalah prestasi lakonan Jake Gyllenhaal dan Dar Salim yang menakjubkan.

Ulasan The Covenant | Skor: 8/10

15. Elemental

Sudah lama aku tidak menonton filem animasi yang membuatkan air mata mengalir. Elemental adalah animasi yang sangat cantik, mempunyai cerita yang penuh emosi dan perkembangan watak yang sangat baik. Ini adalah filem yang anda mungkin boleh kaitkan dengan kisah kehidupan sendiri.

Ulasan Elemental | Skor: 8/10

Leave a Reply