Barbie adalah anak patung yang dicipta oleh Ruth Handler dan dikeluarkan oleh Mattel pada tahun 1956. Populariti anak patung ini cukup hebat dan membuatkan ramai kanak-kanak perempuan boleh berimaginasi untuk mempunyai cita-cita tinggi. Barbie turut telah diadaptasi menjadi beberapa siri animasi dan filem animasi. Terbaru oleh Greta Gerwig iaitu pengarah Little Woman, anak patung popular ini diadaptasi menjadi filem aksi nyata.

Dalam filem ini ia mengisahkan bagaimana Barbie yang menyedari perubahan berlaku pada dirinya dan bersama-sama dengan Ken mereka merentas dari dunia imaginasi Barbie Land ke dunia nyata. Barbie paling terkesan selepas melawat dunia nyata kerana mengalami krisis kewujudan.
Pengalaman Menonton
Pada awalnya saya tidak ingin menonton filem Barbie kerana tidak begitu mengenali sejarah anak patung ini dan menyangkakan filem ini adalah untuk kaum wanita sahaja. Selepas menonton ternyata saya salah dan mula mempersoalkan siapalah yang katakan filem ini tidak sesuai untuk lelaki? Filem Barbie memberikan pengalaman menonton yang berada di luar jangkaan saya. Sepanjang menonton saya terhibur, tertawa tanpa henti dan filem ini memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.

Apa yang dipertontonkan dalam treler hanyalah sedikit sahaja berbanding filem penuh. Saya memang terkejut apabila menonton kerana dari awal filem sehingga tamat ia mempunyai penceritaan yang lancar dan apa yang pengarah cuba sampaikan saya boleh faham dengan mudah. Memang benar filem ini memfokuskan mengenai keadilan buat kaum wanita. Contohnya ada yang tidak bersetuju akan konsep anak patung boleh memberi harapan untuk kanak-kanak perempuan menjadi sesiapa sahaja apabila dewasa kelak.
Barbie mempunyai banyak pengajaran yang sesuai untuk semua orang hadam dan mengambil iktibar untuk memperbaiki diri masing-masing untuk kehidupan sendiri seperti hubungan bersama yang tersayang. Filem ini seakan The Lego Movie tetapi Lego digantikan dengan anak patung Barbie dan format filem adalah aksi nyata dengan melibatkan manusia sebenar dengan dunia imaginasi sesuatu francais mainan.

Barbie turut mempunyai drama yang menyentuh hati yang membuatkan saya terus senyap kerana cuba menghayati perasaan watak utama. Selain Barbie, Ken juga turut memberi kesan terhadap lelaki bujang untuk cuba fahami wanita dengan lebih baik dan jangan asyik pentingkan diri sendiri. Ken dalam filem ini turut mengalami krisis kewujudan apabila menyedari dunia nyata kelihatan lelaki lebih berkuasa berbanding dunia Barbie Land di mana semuanya diketuai oleh kaum wanita.

Saya turut menggemari elemen meta yang disampaikan lagi-lagi melibatkan Mattel dan juga studio Warner Bros. Saya sukakan konsep watak dalam filem menyedari wujudnya syarikat dunia nyata yang mencipta mereka. Menjadikan filem ini lebih menarik adalah komedi yang menggelikan hati. Lawak yang disampaikan itu menjadi dan membuatkan bukan saya seorang tetapi satu panggung ketawa terbahak-bahak.
Barbie juga adalah sebuah filem muzikal yang ringan di mana terdapat beberapa persembahan tarian dan menyanyi yang menarik. Ada sesetengah persembahan agak cringe membuatkan saya tepuk dahi kerana tidak menyangka pelakon sanggup melakukan tarian yang aneh, tetapi mungkin menghiburkan untuk sesetengah orang.

Prestasi lakonan Margot Robbie sebagai Barbie cukup cemerlang. Beliau menyampaikan watak ini dengan jayanya dan saya yakin semua golongan usia yang menontonnya kelak akan memuji Robbie. Untuk Ryan Gosling pula walaupun ramai memberi kecaman kerana usia yang tidak sesuai memainkan watak anak patung, prestasi beliau cukup hebat dan melucukan. Gandingan mereka berdua cukup menarik. Saya rasa dua pelakon ini tidak pernah bersama dalam satu filem kecuali akan datang untuk prekuel Ocean Eleven (jika menjadi).

Prestasi pelakon lain juga memberi sinar kepada filem ini. Misalnya Ken lakonan Simu Liu yang menjadi pesaing sengit kepada Ken Ryan Gosling. Saya juga terkejut melihat Kingsley Ben-Adir yang menggerunkan dalam Secret Invasion tetapi menjadi lembik dan lucu dalam filem ini. Terdapat ramai lagi pelakon yang membawakan iterasi Barbie dan Ken berbeza seperti Kate McKinnon sebagai Weird Barbie, Issa Rae sebagai President Barbie, Ncuti Gatwa sebagai Ken lain, John Cena sebagai Kenmaid iaitu sejenis duyung dan Michael Cera sebagai Allan rakan Ken yang terpinggir.

Konsep kesan visual dalam filem ini juga menarik. Menggabungkan sedikit animasi dan penggunaan elemen seakan kadbod untuk menjadikan dunia imaginasi kelihatan realistik. Elemen-elemen dalam dunia Barbie Land juga kelihatan menarik kerana mirip dengan mainan sebenar dalam saiz untuk manusia. Bercakap mengenai manusia, watak manusia yang cuba diimplementasikan dalam filem ini juga baik sekali iaitu Gloria dan anak perempuannya Sasha, Aaron Dinkins yang kelakar serta CEO Mattel lakonan Will Ferrel.
Kesimpulan
Durasi filem Barbie kurang dua jam. Agak pendek untuk kebanyakan filem Hollywood dengan pelakon A-list, tetapi sepanjang filem penyampaian ceritanya lancar dan tidak rasa bosan pun. Konsep filem ini adalah satu permulaan untuk Mattel menjadikan produk-produk mainan mereka yang lain mempunyai dunia yang tersendiri – mungkin suatu hari nanti boleh ada Mattelverse?
Barbie adalah filem yang wajib tonton jika anda ingin saksikan sesuatu yang menghiburkan, seronok dan melucukan. Selepas menonton saya yakin anda akan pulang dengan perasaan yang puas dan rasa ingin tonton lagi dan lagi.
Filem ini akan ditayangkan pada 20 Julai. Ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Warner Bros. Malaysia berikan kepada Aksiz.