The Last of Us Part I merupakan permainan terbaik bagi saya, walaupun sudah menerima The Last of Us Part II, ia masih lagi adalah pilihan saya. Apabila Naughty Dog mengumumkan yang mereka akan membawa versi baharu untuk permainan pertama siri ini, saya merasakan ia adalah perlu kerana permainan ini berhak untuk mendapat pengeluaran terbaru, tambahan lagi ia juga diumumkan untuk PC.
Sebelum ini saya sudah mengeluarkan ulasan The Last of Us Part I yang dimainkan di PlayStation 5 dan secara ringkasnya saya boleh katakan ia adalah permainan terbaik yang menjadi lebih baik. Saya juga mengatakan yang Horizon Zero Dawn, God of War, Days Gone, Spider-Man Remastered, Spider-Man: Miles Morales, dan Uncharted versi PC adalah versi terbaik, adakah perkara sama untuk The Last of Us Part I?
Secara ringkasnya, saya boleh katakan yang prestasi untuk The Last of Us Part I di PC adalah tidak sebaik dengan port-port lain yang saya nyatakan di atas. Walaupun, saya telah tunggu beberapa bulan, dengan beberapa kemaskini sudah dikeluarkan – ia sudah lebih baik berbanding semasa pelancaran – akan tetapi masih lagi terasa memerlukan spesifikasi PC yang tinggi untuk bermain dengan kelancaran yang baik.
Saya menggunakan PC spesifikasi seperti berikut;
Tetapan terbaik yang saya pilih, untuk Preset, adalah Medium dan juga menggunakan DLSS dengan tetapan Balance, anda boleh mencuba tetapan lebih tinggi, ataupun menutup beberapa tetapan yang lain seperti Motion Blur yang menggunakan CPU dan sebagainya untuk menambah prestasi, akan tetapi bagi percubaan saya, ia adalah berdasarkan Preset yang diberikan.
Menggunakan tetapan ini, secara purata saya mendapat kadar kelancaran 71.1 FPS, dan untuk kebanyakan bahagian melebihi 60FPS, oleh itu saya cadangkan untuk mengehadkan kadar kelancaran kepada 60FPS agar memberikan prestasi yang lebih stabil.
Jika anda melihat kepada graf di bawah, anda boleh lihat yang ada masa kadar kelancaran jatuh hampir ke 30FPS, dan ini berlaku dengan kerap di beberapa tempat yang mempunyai perkara yang sama iaitu tumbuh-tumbuhan. Namun, dengan kebanyakan sesi permainan ini berlaku di dalam bangunan ataupun tempat yang lebih tertutup, ia bukanlah masa yang sering berlaku.
Walaupun ini adalah prestasi yang mencukupi untuk saya, akan tetapi harus ingat ini adalah menggunakan tetapan Medium dengan bantuan DLSS, saya boleh katakan dengan tetapan ini, tanpa menggunakan DLSS, ia tidak boleh dimainkan dengan baik. Selain itu saya juga perlu memastikan yang tiada aplikasi lain sedang digunakan semasa bermain. Ia adalah berat, dan hanya jika anda mempunyai komputer spesifikasi tinggi sahaja, saya boleh katakan yang versi PC ini lebih baik berbanding versi PS5.
Satu perkara yang menjadikan versi PC lebih baik untuk semua adalah penggunaan papan kekunci dan tetikus. Jika anda membaca ulasan saya untuk versi PS5 antara rungutan saya adalah tatamain The Last of Us Part I terasa perlahan kerana ia dibina untuk memfokuskan kepada menyelinap ataupun stealth. Pada masa yang sama, permainan ini juga menyertakan tetapan kesukaran yang menarik, iaitu anda boleh mengubah aspek-aspek berlainan bagi permainan ini.
Bagi menjadikan permainan ini lebih ‘aksi’ seperti permainan Resident Evil 4, saya menetapkan agar kebanyakan tetapan kesukaran untuk penjahat, menyelinap, ataupun ketahanan pemain lebih sukar iaitu ‘Survivor’ tetapi dengan satu tetapan menjadi lebih mudah iaitu Resources dengan tetapan ‘Very Light’, ini menjadikan peluru lebih mudah untuk didapati.
Dengan menggunakan tetapan ini, sesi permainan terasa lebih pantas dengan saya boleh memfokuskan kepada pertempuran menggunakan senjata dan tidak terlalu mengharapkan untuk menyelinap. Menggunakan tetapan ini tidak menjadikan permainan lebih mudah, tetapi sekadar lebih aksi sesuatu yang saya rasakan adalah lebih baik.
Namun, kekurangan bagi permainan ini adalah kebanyakan bahagian permainan telah dihasilkan dengan mengambil kira mekanik menyelinap. Ini seperti rekaan kawasan, pergerakan zombi dan penjahat, dan juga bagaimana sistem senjata dilakukan. Antara perkara yang menjadikan sesi ini lebih baik adalah kebolehan untuk menukar senjata yang cepat, dan juga mengurangkan pergerakan senjata – kedua-dua perkara ini boleh didapatkan dengan sistem meningkatkan tahap.
Oleh itu, saya boleh katakan cara terbaik adalah dengan memulakannya menggunakan New Game+ dengan anda sudah mempunyai kebanyakan senjata dan juga kebolehan. Anda boleh dapatkannya dengan bermain sendiri, ataupun dapatkan fail simpanan daripada internet untuk membuka New Game+ ini.
Dua perkara di atas adalah perbezaan bagi versi PC dengan versi PlayStation 5 yang saya ulas sebelum ini, manakala bahagian lain seperti penceritaan dan tatamain secara umum adalah sama sahaja. Oleh itu saya tidak akan memberikan ulasan secara mendalam dan anda boleh membacanya di Ulasan The Last of Us Part I untuk PlayStation 5.
Secara ringkasnya, The Last of Us Part I mempunyai penceritaan antara yang terbaik pernah tiba di dalam permainan video. Penceritaan disokong dengan kukuh oleh perwatakan untuk dua watak utama permainan ini iaitu Joel dan juga Ellie. Selain itu, sepanjang pengembaraan mereka, terdapat juga beberapa watak sampingan yang juga memainkan peranan yang penting dan juga menjadikan penceritaan lebih menarik.
Tambahan pada itu, kualiti dialog dan lakonan suara di dalam permainan ini juga adalah antara yang terbaik. Persembahan Troy Baker sebagai Joel dan Ashley Johnson sebagai Ellie boleh dikatakan sebagai satu persembahan yang ikonik dan magnum opus untuk mereka berdua. Persembahan lakonan suara watak-watak sampingan juga mempunyai kualiti yang tinggi.
Melengkapi kesemua ini lagi adalah penggunaan muzik yang sangat berkesan bukan sahaja memberi gambaran untuk keadaan semasa tetapi juga memberi tambahan rasa kepada emosi yang cuba disampaikan. Mendengar alunan muzik oleh Gustavo Santaolalla secara sendirinya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan, ini ditambah lagi ia dicampur dengan penceritaan dan lakonan suara yang disertakan di dalamnya.
Akhir kata, The Last of Us Part I untuk PC masih lagi permainan The Last of Us yang saya anggap sebagai permainan terbaik pernah saya main. Ia mempunyai penceritaan yang mendalam, perwatakan yang menarik, lakonan suara berkualiti dan juga muzik yang sangat berkesan. Namun, saya tidak boleh mengatakan yang ia versi yang terbaik kerana versi PS5 memberikan prestasi yang lebih baik.
Ini adalah kerana versi PC ini memerlukan spesifikasi yang tinggi untuk menjadikannya lebih baik berbanding versi PS5, selain daripada itu ia mempunyai naik turun kadar kelancaran yang sangat mendadak terutama apabila memasuki kawasan dengan tumbuh-tumbuhan. Perkara tambahan bagi versi PC adalah saya boleh menggunakan tetapan tahap kesukaran untuk menjadikan permainan ini lebih aksi ditambah lagi dengan penggunaan papan kekunci dan tetikus.