Microsoft semakin hampir untuk menyelesaikan pengambil-alihan Activision-Blizzard yang bernilai lebih RM295 bilion, selepas rayuan yang dilakukan oleh FTC telah ditolak di mahkamah.

Mungkin menyedari yang pengambil-alihan ini akan berlaku, PlayStation telah bersetuju untuk melakukan perjanjian bagi memastikan Call of Duty terus dikeluarkan di platform mereka.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Phil Spencer hari ini, yang turut mengatakan beliau tidak sabar untuk melihat pemain diberikan lebih banyak pilihan di masa hadapan.

Perjanjian ini bukanlah sesuatu yang baharu, mereka sudah melakukannya bersama dengan Nintendo, manakala Steam pula mengatakan yang mereka tidak perlukan perjanjian ini kerana mengetahui yang Call of Duty akan terus ditawarkan di platform mereka.

Mereka sudah menawarkan perjanjian yang sama kepada PlayStation sebelum ini, akan tetapi ia tidak dipersetujui kerana PlayStation merasakan pengambil-alihan ini tidak harus berlaku dan telah menjadi saksi penting untuk FTC.

Buat masa ini halangan terbesar bagi pengambil-alihan ini adalah UK dengan CMA masih tidak mengeluarkan kata putus untuk rayuan yang telah dilakukan oleh Microsoft dan mungkin mengambil masa sehingga bulan Ogos.

Namun, dengan perjanjian di antara Microsoft dan Activision-Blizzard akan tamat tempoh pada 18 Julai ini, mereka mungkin akan menyelesaikan pengambil-alihan ini tanpa menunggu keputusan CMA.

Sohor Kini