SAG-AFTRA iaitu kesatuan yang mewakili pelakon di Amerika Syarikat telah mengatakan yang mereka tidak mencapai kata sepakat dengan Alliance of Motion Picture and Television Producers (AMPTP) untuk menyambung perjanjian yang berakhir hari ini dan akan melakukan undian untuk menentukan akan melakukan mogok ataupun tidak esok.
AMPTP merupakan entiti yang mewakili penerbit-penerbit kandungan hiburan utama seperti Amazon, Apple, Disney, NBCUniversal, Netflix, Paramount, Sony dan Warner Bros. Discovery.
SAG-AFTRA mengatakan yang AMPTP menggunakan taktik ‘kedegilan’ dan penundaan membuatkan mereka membuat keputusan untuk mencadangkan kepada lembaga untuk melakukan mogok.
Jika mereka melakukan mogok ini, setiap pelakon di bawah SAG-AFTRA tidak boleh terlibat dengan sebarang penggambaran filem ataupun siri TV, dan juga terlibat dengan mana-mana promosi untuknya.
Ini termasuk juga terlibat dengan San Diego Comic-Con yang akan berlangsung minggu depan di mana SAG-AFTRA mungkin akan mencadangkan untuk pelakon tidak menghadiri acara tersebut.
Writers Guild of America (WGA) yang mewakili penulis Amerika Syarikat telah melakukan mogok ini sejak Mei lepas yang mengakibatkan pelbagai kandungan terpaksa ditangguhkan. Jika ia turut melibatkan pelakon, ini akan memberikan kesan yang lebih besar.
Kali terakhir SAG-AFTRA melakukan mogok adalah pada tahun 2000 yang berlanjutan selama 6 bulan.