Wizards of the Coast telah melancarkan penambahan The Lord of the Rings: Tales of Middle-earth untuk Magic: The Gathering (MTG) pada 23 Jun lepas yang juga merupakan kolaborasi terbesar mereka dengan IP luar MTG.
Bersempena dengan pelancaran ini, Wizards telah menyediakan kami beberapa kotak untuk kami buka. Antara yang kami terima adalah Collector Booster, Set Boosters, Jumpstart Pack dan Starter Kit bersama dengan beberapa barangan seperti tote bag dan juga pin.
Tarikan utama sudah semestinya Collector Boosters yang menyertakan 12 Collector Booster dan setiap-nya mempunyai 13 kad MTG daripada penambahan ini. Perkara utama mengenai Collector Booster adalah setiap Booster mengandungi 5 hingga 7 kad yang mempunyai rarity Rare ataupun ke atas, tambahan lagi ia juga akan mempunyai 8 hingga 10 kad dengan jenis Foil.
Collector Booster juga merupakan satu-satunya booster yang mengandungi 1 daripada 1 The One Ring Card, akan tetapi kad tersebut sudah dijumpai di Kanada dengan kata lain ia tidak akan muncul di dalam Booster yang kami terima ini. Namun, ia masih menarik untuk dibuka kerana pelbagai rekaan kad yang unik di dalam penambahan ini.
Bagi Collector Booster ini kami menyediakan video yang memperlihatkan kesemua kad yang kami terima daripadanya dan anda boleh tontonnya di bawah.
Jika anda tonton video tersebut, kami juga meletakkan harga untuk kad-kad yang mempunyai nilai melebihi $10 (berdasarkan harga di MTG Goldfish). Daripada lebih kurang 156 kad yang kami peroleh terdapat 11 kad yang bernilai $10 atau lebih yang membawa jumlah keseluruhan adalah $285 atau lebih kurang RM1,313.
Jika mengambil kira Collector Booster ini ditawarkan dengan harga RM2000, kami mungkin mendapat nilai hampir untuk keseluruhan kad yang ada, namun kami berpendapat yang Collector Booster adalah untuk anda yang ingin mengumpul sahaja, dan jika ingin kad yang lebih banyak Set Booster adalah pilihan yang lebih baik.
Berbanding harga mencecah RM2000 untuk Collector Booster, Set Booster Lord of the Rings ditawarkan dengan harga lebih kurang RM880 dan mempunyai 30 Booster yang mengandungi 11 kad MTG bersama dengan kad Token dan karya ataupun iklan, dengan 1 hingga 4 adalah kad yang mempunyai rarity Rare ataupun lebih tinggi.
Oleh itu, Set Booster adalah pilihan terbaik bagi yang ingin mendapatkan sebanyak mungkin kad di dalam penambahan ini. Anda mungkin tidak akan mendapat kad-kad Rare yang banyak, akan tetapi daripada 10 Set Boosters yang kami buka sudah mendapat 2 kad yang mempunyai rarity Mythic Rare bersama dengan pelbagai kad dengan rekaan yang menarik.
Seperti sedia maklum, kad-kad di dalam penambahan ini adalah seperti kad di dalam set Beyond Universe yang lain dan boleh digunakan bagi format Eternal – Legacy, Vintage dan Commander dengan tambahan format Modern sahaja dan tidak boleh digunakan untuk Standard.
Bagi yang baru ingin bermula dan ingin belajar bermain Magic: The Gathering, Starter Kit adalah satu pilihan yang baik. Ia ditawarkan dengan harga lebih kurang RM90 dan menyertakan dua dek 60 kad yang sudah bersedia untuk digunakan. Bersama dengan dua dek tersebut, terdapat juga buku panduan yang memperlihatkan asas permainan untuknya.
Jika mengikut nilai kad yang disertakan di dalam dua dek ini, ia adalah melebihi daripada harga yang anda bayar untuknya iaitu RM90. Dek-dek yang disertakan juga boleh dikatakan seimbang dengan jika anda bermain melawan menggunakan dua dek ini, ia akan memberi sesi permainan yang baik tanpa ada satu dek yang terlalu ‘berkuasa’.
Sedikit perkara yang mungkin tidak menggambarkan sesi permainan MTG adalah tidak banyak kad yang diletakkan lebih daripada satu, dengan kebanyakan kad adalah kad yang berlainan. Ia mungkin untuk memastikan pemain mendapat pelbagai kad yang berbeza, akan tetapi jika satu sesi permainan yang sebenar, meletakkan kad yang sama sehingga 4 sudah menjadi kebiasaan.
Jika anda sudah serba sedikit mengetahui cara untuk bermain MTG, dan ingin mencari cara paling cepat untuk bermain dengan kad-kad di dalam penambahan ini, Jumpstart Pack adalah pilihan yang ada. Saya tidak pasti dengan harga untuk Jumpstart Pack yang menyertakan 2 booster, akan tetapi harga untuk Jumpstart Booster yang mengandungi 18 Booster adalah lebih kurang RM500 dengan kata lain RM27 untuk setiap booster.
Cara untuk bermain Jumpstart adalah pemain akan membuka 2 boosters dan kad-kad daripada 2 booster tersebut di campur untuk membentuk satu dek, dan seorang lagi pemain akan melakukan perkara yang sama dan kedua-dua pemain akan bermain melawan sesama sendiri. Pemain kemudian boleh memilih untuk menukar dek yang digunakan.
Jika anda ingin mengetahui lanjut mengenai penambahan MTG The Lord of the Rings: Tales of Middle-Earth ini anda boleh layari laman – https://magic.wizards.com/en/products/the-lord-of-the-rings-tales-of-middle-earth.