PUBG Mobile telah mengumumkan yang acara kolaborasi bersama dengan Dragon Ball Super akan bermula esok bersama dengan kemaskini versi 2.7.

Bermula 13 Julai sehingga 4 September, pemain boleh mencari 7 biji mutiara naga semasa bermain mod battle royale untuk menyeru Shenron yang akan memberikan tambahan kuasa kepada pemain untuk memenangi sesi permainan mereka.

Selain itu, beberapa kawasan di Erangel, Livik dan Sanhok akan diubah berdasarkan rekaan “Dragon Ball Village”, “Tenkaichi Budokai”, “Kame House” dan “Karin Tower” yang akan mempunyai barangan istimewa.

PUBG Mobile juga akan menerima elemen “Ki” yang akan melajukan pergerakan dan membolehkan pemain untuk menggunakan “Kamehameha” dan “Buku-jutsu” untuk terbang. Pemain boleh memakan “Senzu Beans” untuk menambah Ki ini.

Manakala bermula pada 15 Julai sehingga 4 September, mod baharu juga akan disertakan iaitu Battle Royale: Dragon Ball Super yang akan mengubah PUBG Mobile dengan rekaan seni seakan siri anime. Pemain juga akan menjadi salah seorang daripada watak Dragon Ball Super iaitu Son Goku, Vegeta, Frieza, Piccolo dan Gohan yang mempunyai kebolehan tersendiri.

Bagi mengias watak pemain, PUBG Mobile juga akan menerima pelbagai barangan kosmetik berdasarkan Dragon Ball Super yang akan tiba melalui dua fasa berbeza dan menawarkan rekaan yang berlainan.

PUBG Mobile adalah permainan percuma yang sudah dikeluarkan untuk iOS dan Android.

Sohor Kini