10 Filem Menarik Bulan Julai 2023

Dengan kita sudah memasuki minggu pertama untuk bulan Julai, melalui artikel ini kami ingin kongsi filem-filem menarik yang akan tiba sepanjang bulan ini. Filem-filem yang dipilih adalah untuk filem yang akan dikeluarkan di pawagam sahaja dan bukan filem yang tiba melalui platform penstriman seperti Netflix, Disney+ Hotstar dan Prime Video.

Walaupun mungkin sudah kurang relevan, akan tetapi anda boleh lihat senarai 10 filem menarik bagi bulan lepas melalui pautan berikut; 10 Filem Menarik Di Pawagam Untuk Bulan Jun 2023.

Susunan bagi artikel ini adalah mengikut tarikh tayangan dan bukan mengikut ‘tahap menarik’. Tarikh tayangan adalah berdasarkan cinema.com.my dan mungkin akan berubah dari semasa ke semasa.

1. Insidious: The Red Door

Tarikh Tayangan: 5 Julai 2023

Insidious: The Red Door merupakan filem kelima untuk siri filem seram Insidious dan merupakan filem susulan untuk Insidious (2010) dan Insidious: Chapter 2 (2013). Filem ini diarahkan oleh Patrick Wilson yang juga buat pertama kali menjadi pengarah dengan penceritaan ditulis oleh Scott Teems bersama Leigh Whannell.

2. Sue-On

Tarikh Tayangan: 6 Julai 2023

Sue-On boleh dikatakan sebagai filem yang mengambil inspirasi daripada siri filem Zombi Kampung Pisang oleh Mamat Khalid dengan membawa premis yang sama termasuk juga senarai pelakon. Sue-on adalah filem arahan Razif Rashid mengenai hantu dari Korea yang tersesat di Kampung Tengah. Antara senarai pelakon adalah Awie, Reen Rahim, Ropie, dan Erra Fazira.

3. Shin-Masked Rider

Tarikh Tayangan: 6 Julai 2023

Shin-Masked Rider merupakan filem berdasarkan adiwira tokusatsu Kamen Rider dan dihasilkan untuk menyambut ulang tahun ke-50 mereka. Filem ini juga merupakan filem terakhir di dalam ‘Shin Japan Heroes Universe’ selepas Shin Godzilla, Evangelion: 3.0+1.0, dan Shin Ultraman yang dikeluarkan sebelum ini. Filem ini diarahkan dan juga ditulis oleh Hideaki Anno.

4. Detective Conan The Movie: Black Iron Submarine

Tarikh Tayangan: 6 Julai 2023

Black Iron Submarine merupakan filem ke-26 untuk Detective Conan dan filem keempat yang melibatkan Black Organization. Conan bersama dengan Kogoro Mouri, Ran Mouri, Ai Haibara pergi ke satu pulau yang juga menjadi tempat operasi Black Organization untuk menculik seorang jurutera.

5. Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One

Tarikh Tayangan: 12 Julai 2023

Filem ketujuh untuk siri filem Mission: Impossible yang akan memperlihatkan Ethan Hunt bersama dengan pasukan IMF melakukan misi yang seterusnya. Filem ini dikatakan akan menjadi filem terakhir Tom Cruise menjadi Ethan Hunt dan dibahagikan kepada dua bahagian dengan bahagian seterusnya akan tiba pada tahun depan.

6. Festival Filem Thailand

Tarikh: 14 – 16 Julai 2023

Festival Filem Thailand kembali pada tahun ini selepas dianjurkan pada tahun 2017 dan 2019 sebelum ini. Melalui festival ini, anda berpeluang untuk menonton lima filem dari Thailand secara percuma. Lima filem tersebut adalah Faces of Anne, Love Destiny the Movie, Fast and Feel Love, Haunted Universities 2nd Semester dan Friend Zone.

7. Barbie

Tarikh Tayangan: 20 Julai 2023

Filem arahan Greta Gerwig membawa satu dunia yang menarik untuk dijadikan filem iaitu Barbie. Filem ini melibatkan senarai pelakon seperti Margot Robbie, Ryan Gosling dan Will Ferrell. Filem ini adalah mengenai Barbie dan Ken yang telah dihalau daripada dunia Barbie mengembara di dunia sebenar.

8. Oppenheimer

Tarikh Tayangan: 20 Julai 2023

Terdapat dua tarikan utama untuk filem ini, pertama ia adalah filem seterusnya oleh pengarah terkenal Christopher Nolan dan juga subjek untuk filem iaitu mengenai J. Robert Oppenheimer yang merupakan orang penting di dalam penghasilan bom atom yang pertama. Mengadaptasi biografi ‘American Prometheus’ oleh kai Birdh dan Martin J. Sherwin ia ditulis sendiri oleh Christopher Nolan dengan senarai pelakon seperti Cillian Murphy, Emily Blunt, Matt Damon dan Robert Downey Jr.

9. Talk To Me

Tarikh Tayangan: 27 Julai 2023

Talk to Me adalah filem seram dari Australia yang diarahkan oleh Danny Philippou dan Michael Philippou dan ditulis oleh Danny Philippou bersama dengan Bill Hinzman. Filem ini mengisahkan mengenai sekumpulan rakan yang menjumpai cara untuk mengeluarkan roh, akan tetapi menjadi masalah apabila roh jahat tiba.

10. Haunted Mansion

Tarikh Tayangan: 27 Julai 2023

Haunted Mansion adalah filem seram komedi arahan Justin Simien berdasarkan mainan di Disneyland iaitu The Haunted Mansion. Filem ini mengisahkan mengenai seorang penyiasat paranormal, paderi, psikik dan juga profesor terlibat dengan kejadian seram di dalam sebuah rumah agam. Senarai pelakon adalah LaKeith Stanfield, Tiffany Haddish, Owen Wilson, Danny DeVito dan Jared Leto.

Sohor Kini