Apple Arcade telah mengumumkan permainan-permainan mudah alih yang akan menyertai perkhidmatan tersebut sepanjang bulan Julai ini. Permainan-permainan yang diumumkan adalah Slay the Spire, Lego Duplo World, Ridiculous Fishing EX, Stardew Valley dan Hello Kitty Island Adventure.
Slay the Spire+ adalah permainan roguelike dalam bentuk kad yang diterbitkan oleh Humble Bundle, ia adalah permainan yang sudah dikeluarkan sejak tahun 2017 lagi dan antara permainan roguelike dalam bentuk kad yang sangat popular. Slay the Spire+ ini akan menyertai Apple Arcade pada 7 Julai 2023.
Pada tarikh yang sama, StoryToys juga akan membawa permainan Lego Duplo World+ yang merupakan permainan interaktif dan satu permainan yang baik untuk digunakan bagi mengajar kanak-kanak.
Vlambeer pula akan membawa permainan Ridiculous Fishing EX iaitu versi penambah-baikkan untuk permainan Ridiculous Fishing mereka yang sebelum ini dikeluarkan pada tahun 2013. Antara penambahan yang disertakan adalah mod kompetitif dengan cabaran untuk harian, mingguan, dan bulanan. Ridiculous Fishing EX ini akan disertakan pada 14 Julai 2023.
Seterusnya adalah permainan yang boleh dikatakan permainan berkebun paling popular buat masa ini iaitu Stardew Valley oleh ConcernedApe. Permainan yang dikeluarkan pada tahun 2016 lagi ini, terus popular dengan terus menerima kandungan baharu dari semasa ke semasa. Stardew Valley+ akan disertakan di dalam Apple Arcade pada 21 Julai 2023.
Akhir sekali adalah Hello Kitty Island Adventure iaitu permainan oleh Sunblink. Di dalam permainan pengembaraan ini, pemain akan membina semula pulau bersama dengan rakan-rakan di pulau tersebut. Menyertakan grafik yang comel, permainan ini juga dikhususkan untuk kanak-kanak.
Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.