Jika bercakap mengenai permainan Diablo, fokus utama sudah semestinya mengenai permainan yang akan dimainkan untuk bertahun-tahun, permainan yang ramai akan bermain untuk mendapatkan barangan terbaik bagi mereka, namun bagi ulasan Diablo IV ini saya ingin memfokuskan kepada satu bahagian yang tidak kurang pentingnya iaitu kempen ataupun bahagian penceritaan utama bagi permainan ini. Ini tambahan lagi kerana bahagian ini adalah yang terbaik pernah hadir bagi siri permainan Diablo.
Saya meluangkan lebih 20 jam bermain bahagian kempen sahaja bersama dengan melakukan beberapa misi sampingan dan juga Dungeon untuk meningkatkan tahap, dan saya boleh katakan jika Diablo IV menyertakan kempen sahaja, ia masih lagi satu permainan yang sangat baik. Kempen di dalam permainan ini, bukan dihasilkan sebagai sampingan ataupun pengenalan kepada dunia sahaja, sebaliknya ia adalah satu kempen penuh yang setiap aspek daripadanya dihasilkan dengan baik memberikan pengalaman penuh kepada saya.

Penceritaan Diablo IV memfokuskan kepada Lilith yang digelar sebagai ‘Mother of Sanctuary’ kerana dia bersama dengan Inarius melahirkan nephalem ataupun manusia pertama yang kemudiannya menjadi penduduk untuk Sanctuary. Di dalam permainan ini, Lilith telah dibawa kembali ke Sanctuary dan bermulalah perancangannya, bukan sahaja untuk Sanctuary tetapi juga untuk Neraka. Lilith adalah satu watak yang menarik kerana dia bukan ingin memusnahkan dunia ataupun ingin melawan Angel, akan tetapi dia ingin mengakhiri ‘Eternal Conflict‘ buat selama-lamanya.
Pada masa sama, Diablo IV juga menyertakan beberapa watak sampingan yang baik contohnya Lorath, Doran yang akan menemani watak pemain di kebanyakan bahagian untuk penceritaan dan saya boleh katakan yang dia adalah satu watak yang ditulis dengan sangat baik. Selain Lorath dan Donan terdapat beberapa lagi watak yang akan tiba dan mereka juga dihasilkan dengan sangat baik, mungkin ada watak yang tiba untuk seketika sahaja, akan tetapi impak yang diberikan oleh mereka sudah mencukupi untuk menjadikannya watak yang baik.

Ini dibantu lagi dengan lakonan suara yang baik untuknya, sesuatu yang saya boleh katakan untuk kesemua watak di dalam permainan ini termasuk juga yang sekadar menjadi NPC ataupun pemberi misi sampingan. Saya boleh sekadar berjalan-jalan di sesuatu kawasan dan terdengar percakapan rawak daripada NPC yang mempunyai lakonan suara yang masih baik. Tambahan lagi dengan watak-watak utama seperti Lorath dan Lillith yang dibawa dengan sangat memuaskan dan begitu juga dengan watak pemain sendiri yang diberikan lebih banyak dialog di dalam permainan ini.
Bersama dengan watak dan lakonan suara, Blizzard juga sekali lagi hadir dengan dunia yang sangat di dalam Diablo IV. Tidak kira kawasan terbuka ataupun di dalam dungeon, setiap daripadanya dihasilkan dengan teliti, dengan persekitaran dan suasana yang sangat bersesuaian dengan penceritaan dan juga keadaan semasa di Sanctuary pada waktu ini. Diablo IV juga menyertakan satu kawasan dunia terbuka yang luas, dengan setiap bahagian mempunyai rekaan tersendiri terutama mengikut keadaan persekitaran di kawasan tersebut.


Tambahan pada itu adegan-adegan CGI ataupun adegan di dalam permainan yang dihasilkan dengan baik, sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan untuk Blizzard ataupun permainan Diablo sendiri. Adegan-adegan ini membantu untuk menjadikan penceritaan lebih menarik dan juga membolehkan beberapa watak terutama Lillith untuk berkembang lagi sesuatu yang penting sebagai antagonis utama di dalam permainan ini. Melengkapi kesemua ini adalah muzik runut yang sangat baik menemani saya semasa mengembara ataupun menjadikan sesuatu adegan lebih berkesan.
Bagi tatamain, Diablo IV masih lagi terasa seperti permainan-permainan sebelum ini terutama jika kita memfokuskan kepada bahagian kempen sahaja. Buat masa ini, ia menyertakan lima kelas berbeza iaitu Barbarian, Druid, Necromance, Rogue dan Sorcerer. Saya baru sahaja mencuba Barbarian dan kepelbagaian build saya boleh guna untuk watak ini, membuatkan saya boleh meluangkan lebih banyak masa untuk mencuba walaupun saya masih tidak memikirkan untuk meneruskan sesi permainan ke endgame selepas berakhirnya kempen.


Selain penceritaan utama, terdapat juga pelbagai misi sampingan yang saya boleh lakukan dan saya boleh katakan yang misi-misi sampingan ini dilakukan dengan menarik dan mempunyai penceritaan tersendiri. Bahkan, beberapa misi sampingan mempunyai beberapa bahagian yang membawa penceritaan yang agak mendalam. Ia juga boleh membantu untuk meningkatkan tahap dan juga mendapat renown, selain menjadi sebab untuk mengembara ke kawasan yang tidak dilawati di dalam misi utama. Selain itu, terdapat Stronghold dan dungeon yang boleh dilakukan.
Tahap kesukaran di dalam permainan ini terbahagi kepada dua untuk bahagian penceritaan iaitu World 1 dan World 2, bagi saya tahap kesukaran yang disertakan adalah lebih sukar jika ingin dibandingkan dengan Diablo III, saya boleh katakan Diablo III walaupun dengan tahap kesukaran tertinggi untuk bahagian penceritaan masih terasa mudah, berbeza dengan Diablo IV yang World 2 akan memberi lebih cabaran, namun saya boleh katakan kelebihan yang diberikan World 2 tidak terlalu menarik selain memberi cabaran.



Sedikit perkara yang mengecewakan adalah seperti biasa untuk permainan Diablo, anda hanya benar-benar membina watak selepas berakhirnya kempen ataupun selepas mencapai tahap 50. Oleh itu, semasa melakukan kempen saya lebih sekadar memilih kuasa yang ingin dicuba, manakala barangan kebiasaan menggunakan yang terbaik sahaja tanpa terlalu memikirkan mengenai aspek-aspek lain. Ia sedikit mengecewakan tetapi jelas yang Diablo adalah permainan yang meletakkan endgame sebagai fokus utama. Selain membina watak, perkara-perkara lain seperti renown juga hanya penting untuk bahagian endgame dengan semasa penceritaan saya tidak sangat mengambil tahu mengenainya.
Masalah kedua yang saya boleh katakan adalah walaupun sekadar ingin bermain kempen secara solo, permainan ini sentiasa memerlukan sambungan internet, ia adalah untuk membolehkan anda melihat pemain lain di dunia yang sama ataupun melakukan world event bersama-sama, ia tidak memberikan masalah kepada saya kecuali semasa keadaan yang tertentu seperti saya sedang memuat turun sesuatu yang mengakibatkan internet menjadi perlahan, ataupun perkara yang baru sahaja berlaku semalam iaitu pelayan Blizzard menerima DDoS yang mengakibatkan permainan tidak boleh diakses.

Akhir kata, kempen Diablo IV secara sendirinya bagi saya adalah satu pengalaman yang lengkap dan jika anda seperti saya sekadar bermain Diablo untuk penceritaan utama dan tidak mempunyai perancangan untuk mencuba bahagian-bahagian seterusnya, saya masih lagi sangat mencadangkan permainan ini. Pengalaman yang diberikan sangat baik tidak kira dari segi penceritaan, rekaan watak dan perwatakan, lakonan suara, rekaan dunia dan juga muzik, kesemuanya adalah sangat baik dan mencukupi untuk menganggapnya sebagai satu pengalaman kendiri.
Jika anda berminat dengan bahagian endgame, ia akan memberi nilai tambah kepada permainan ini, tetapi ulasan khusus untuknya mungkin akan tiba kemudian dan saya boleh katakan ia adalah satu perkara yang sangat berlainan dengan kempen ini.
Penafian: Kod permainan untuk Diablo IV disediakan oleh Blizzard untuk tujuan ulasan ini.