Ulasan Final Fantasy XVI

Square Enix sebelum ini telah berkongsi demo untuk Final Fantasy XVI iaitu permainan terbaru di dalam siri Final Fantasy. Demo yang memberi peluang untuk pemain mencuba 2 jam pertama bagi permainan tersebut, telah digelar sebagai antara demo terbaik pernah dikeluarkan. Penawaran demo ini telah membuatkan ramai yang meletakkan harapan tinggi bagi permainan penuh, termasuk saya sendiri. Hari ini, saya dengan berbesar hati saya ingin mengatakan harapan tinggi saya letakkan untuk permainan ini telah dicapai, bahkan lebih lagi.

Saya tidak mempunyai ‘autoriti’ untuk mengatakan Final Fantasy XVI adalah permainan terbaik di dalam siri Final Fantasy, kerana kurangnya pengalaman saya bermain permainan-permainan Final Fantasy yang lain. Namun, berbanding dengan dua permainan sebelum ini iaitu Final Fantasy XV dan juga Final Fantasy VII Remake, saya boleh katakan Final Fantasy XVI adalah satu permainan yang lebih baik dan akan meletakkannya sebagai antara tertinggi di dalam ranking untuk permainan Final Fantasy.

Final Fantasy XVI memberikan pengalaman yang cukup lengkap untuk pelbagai aspek permainan, tidak kira penceritaan, rekaan watak dan dunia, pertempuran dan juga grafik. Sepanjang lebih kurang 32 jam saya ambil untuk menghabiskan permainan ini (penceritaan utama) – mengambil lebih kurang 70 jam untuk menghabiskan sepenuhnya – saya mempunyai masa yang baik setiap minit dan jam daripadanya. Kali terakhir permainan yang apabila saya menghabiskannya, saya tidak mempunyai rungutan yang banyak adalah God of War Ragnarok, mungkin kerana itu, Final Fantasy XVI saya akan berikan skor ulasan yang sama.

Permainan Final Fantasy ini membawa penceritaan berdasarkan fantasi medieval dengan melibatkan raja, peperangan tetapi pada masa sama menyertakan elemen-elemen ‘wajib’ di dalam permainan Final Fantasy seperti Crystal dan ‘summon’ yang di bawa dengan cara berlainan di dalam permainan ini dan digelar sebagai Eikon. Saya tidak akan menjelaskan dengan terperinci mengenai perkara-perkara ini dan inginkan pemain menghayati sendiri di dalam permainan, akan tetapi saya boleh katakan elemen ini disertakan dengan sangat baik dan saya rasakan antara terbaik di dalam siri-siri permainan Final Fantasy.

Jika anda sudah mencuba demo untuk permainan ini, penceritaan utama berlaku beberapa tahun selepas kejadian tersebut, jika anda tidak mencubanya lagi sedikit spoiler, demo berakhir dengan watak utama iaitu Clive Rosfield telah ditangkap oleh sekumpulan tentera yang diketuai oleh ibunya sendiri dan ini adalah selepas pertempuran di antara dua Eikon iaitu Phoenix yang merupakan adiknya Joshua Rosfield dan Ifrit yang masih misteri mengenainya. Penceritaan disambung dengan Clive ingin mencari siapakah Ifrit yang bertempur dengan adiknya itu dan ingin membalas dendam.

Namun, penceritaan Clive Rosfield tidak terhad mengenai penceritaan ataupun misi membalas dendam tetapi telah dikembangkan lagi dengan pergaduhan di antara tiga kerajaan di Valisthea ini yang melibatkan politik dan juga peperangan. Penceritaan yang disampaikan sangat menarik, dan berbanding dengan permainan-permainan Final Fantasy sebelum ini, saya boleh katakan ia adalah antara penceritaan yang paling mudah untuk diikuti. Ia masih mempunyai beberapa elemen misteri dan mistik yang sudah menjadi kebiasaan tetapi tidak disampaikan dengan terlalu rumit. Satu rungutan yang saya boleh katakan adalah kerana ingin memberikan penceritaan yang lebih ringkas, elemen politik yang kebiasaan menjadi fokus utama di dalam fantasi medieval tidak dikembangkan dengan lebih mendalam.

Walaupun penceritaan ringkas, ada masa saya sedikit keliru dengan apa yang berlaku ataupun mengenai perhubungan di antara kerajaan serta watak, Final Fantasy XVI mempunyai cara yang baik untuk menjawab persoalan-soalan tersebut. Sama ada melalui direktori yang memperlihatkan informasi mengenai watak, negara dan raksasa, ataupun melalui “The State of the Realm” di mana saya boleh melihat kejadian-kejadian dan juga perhubungan antara watak mengikut masa. Saya juga boleh menekan touchpad untuk mengetahui mengenai sesuatu yang baru sahaja berlaku melalui fungsi semasa melalui Active Time Lore (ATL). Adanya perkara-perkara ini membuatkan lebih mudah untuk saya mengikuti perkembangan penceritaan dan terasa terdapat wiki sebelum wiki dikeluarkan untuk permainan ini.

Penarik utama untuk penceritaan Final Fantasy XVI adalah watak Clive Rosfield yang saya sangat suka, dua protagonis kegemaran saya di dalam siri Final Fantasy adalah Zidane dan Cloud, kini saya boleh katakan Clive berada di atas berbanding dua watak tersebut (melainkan FFIX menerima remake, saya mungkin akan mengubahnya semula). Clive mempunyai perwatakan yang ringkas, sesuatu yang kita sering dapat daripada watak-watak hero ataupun protagonis. Namun di dalam keringkasan tersebut, Clive masih lagi mempunyai perwatakan yang mendalam, dia tidak sempurna, dia mempunyai keresahan, dia mempunyai kekesalan dan ada masa dia teragak-agak tetapi perkara-perkara ini menjadikan Clive satu watak yang dinamik dan meluangkan beberapa jam mengikuti kisahnya buat pertama kali adalah satu pengalaman yang saya tidak akan lupa.

Selain Clive, terdapat juga beberapa lagi watak yang akan bersama dengan Clive seperti Jill yang merupakan rakannya dari kecil, Cidolfus Telamon watak yang diperlihatkan di dalam demo kedua, Torgal iaitu anjing peliharaan dan bersama dengan pelbagai lagi watak lain menjadi pelengkap kepada kisah epik Clive dan setiap daripada mereka memainkan peranan yang baik. Penglibatan mereka bukan sahaja untuk mengembangkan lagi penceritaan, tetapi membantu untuk memberi dinamik perwatakan kepada Clive.

Selain watak-watak protagonis, terdapat juga beberapa watak antagonis yang kebiasaannya mempunyai peranan yang penting di dalam pentadbiran sesuatu kerajaan, bagi saya rekaan watak mereka adalah menarik, beberapa watak juga mempunyai penceritaan yang baik akan tetapi saya sedikit kecewa kerana mereka tidak diberi ruang yang mencukupi untuk berkembang secara sendiri. Kebanyakan watak ini terasa dihadkan penglibatan mereka di dalam penceritaan atas dasar ‘mengikut perintah’ ataupun sekadar ‘pawn’ di dalam percaturan politik. Ini menjadikan watak-watak tersebut tidak mencapai tahap yang saya harapkan.

Penceritaan juga dikembangkan lagi dengan misi-misi sampingan yang disertakan di dalam permainan ini. Saya melakukan segala aktiviti sampingan yang disertakan sehinggalah mencapai 70% permainan ini, sebelum saya sekadar memfokuskan kepada penceritaan utama. Saya boleh katakan yang kebanyakan misi sampingan memerlukan pemain untuk melakukan perkara yang sama iaitu pergi ke suatu tempat, bertempur dengan raksasa tertentu, atau mengambil barangan yang diminta.

Dengan kata lain, kebanyakannya adalah ‘fetch quest‘, namun, oleh kerana penceritaan yang disampaikan melalui misi sampingan ini menjadikannya berbaloi untuk dilakukan. Selepas kejadian besar berlaku di penceritaan utama saya sentiasa ingin tahu mengenai apa kesannya di dunia, dan cara yang terbaik untuknya adalah dengan melakukan misi sampingan. Misi sampingan yang mempunyai ikon ‘+’ pula lebih lagi perlu diutamakan kerana ia akan memberikan penambahan kepada pemain seperti pedang baharu untuk dihasilkan, ataupun mempertingkatkan jumlah herba yang boleh disimpan.

Pertempuran di dalam Final Fantasy XVI memfokuskan kepada dua mekanik iaitu kombo dan juga staggered. Clive boleh melakukan serangan biasa menggunakan pedang ataupun magis, selain itu boleh menggunakan 9 kuasa berlainan. 9 kuasa ini terdiri daripada tiga elemen yang berbeza. Clive akan bermula dengan elemen Api, diikuti dengan elemen angin dan akan menerima lebih banyak elemen dengan menyelesaikan penceritaan utama. Setiap elemen ini mempunyai gaya serangan yang berbeza. Ada yang melakukan serangan yang memberikan damage, ada yang lebih kepada stunt untuk menjadikan staggered dengan lebih cepat.

Apabila penjahat menjadi staggered, ia bukan sahaja tidak akan melakukan serangan balas akan tetapi juga akan mendapat damage yang berganda. Oleh itu, bagi saya fokus untuk pertempuran bagi permainan ini adalah melakukan serangan untuk mendapat staggered secepat yang mungkin, namun bagi penjahat-penjahat kecil atau yang biasa, tidak mempunyai staggered dan boleh diserang secara penuh.

Antara rungutan saya semasa mencuba demo permainan ini adalah pertempuran sangat perlahan dan penjahat terasa ‘bullet sponge’, walaupun bahagian ‘bullet sponge’ tersebut masih hadir sepanjang permainan ini, akan tetapi apabila saya mendapat lebih banyak kuasa untuk digunakan, bagi mengisi 9 slot, pertempuran menjadi lebih pantas dan saya sangat menyukai penukaran setiap elemen ini memberikan gaya pertempuran yang berbeza dan bagi saya mencari 9 kuasa yang boleh digunakan secara bersama menjadikan pertempuran sangat menarik.

Contohnya menggunakan satu serangan yang membuatkan pemain terbang ke atas, kemudian menukar kepada kuasa yang menariknya ke bawah, sebelum melakukan serangan berterusan adalah antara kombo yang boleh dilakukan menggunakan pelbagai kuasa di dalam permainan ini. Saya mengaku, saya bukanlah kreatif di dalam penggunaan kuasa ini, akan tetapi masih terasa puas apabila berjaya melakukan sesuatu yang saya rancangkan. Saya tidak sabar untuk melihat pelbagai gaya berbeza yang akan digunakan oleh pemain-pemain lain.

Pertempuran juga dibantu dengan rakan-rakan yang akan bersama Clive kebiasaan adalah dua watak termasuk juga Torgal, Clive boleh mengarah Torgal untuk melakukan serangan, membaling penjahat ke atas ataupun menyembuh, manakala lagi watak rakan Clive tidak boleh dikawal dan melakukan serangan secara automatik. Bagi saya hadirnya dua watak semasa pertempuran di-samping Clive tidak sangat membantu kerana serangan mereka tidaklah kuat. Hanya Torgal yang ada masa berguna untuk melakukan kombo tertentu.

Pemain juga boleh meningkatkan tahap sesuatu kuasa menggunakan Ability Points, oleh kerana Clive akan menerima elemen-elemen lain bukan secara serentak, ada kemungkinan yang kuasa yang ditingkatkan tahap sebelum ini tidak lagi ingin digunakan, namun Final Fantasy XVI menjadikan perkara ini bukan suatu isu, dengan membolehkan pemain untuk set semula ability points pada bila-bila masa tanpa sebarang penalti.

Clive juga boleh ditingkatkan tahap dengan menggunakan gear seperti pedang, tali pinggang dan gelang. Kesemua barangan ini boleh dibeli ataupun cara utama bagi saya adalah dengan crafting. Sepanjang saya bermain, saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan barangan bagi crafting terutama dengan melakukan misi-misi sampingan. Namun, terdapat barangan terutamanya pedang yang memerlukan bahan yang khusus yang hanya boleh didapatkan dengan menyelesaikan misi-misi hunt binatang ataupun penjahat tertentu. Gear tidak memberi kesan secara visual kecuali pedang.

Bersama dengan sistem pertempuran yang menarik, Final Fantasy XVI juga mempunyai pertempuran bos yang epik, bukan sahaja sebagai Clive tetapi juga pertempuran di antara Eikon melawan Eikon seperti yang diperlihatkan di dalam demo, tetapi dikembangkan lagi dengan pelbagai elemen ‘permainan-mini’ yang lain. Setiap kali selesai perlawanan bos atau Eikon ini, ditambah lagi dengan cinematic yang epik, saya sentiasa bertepuk tangan setiap kali ia berakhir dan terasa sangat berpuas hati.

Terdapat dua pilihan kesukaran iaitu Action Focused dan Story Focused, dengan Action Focused adalah tahap kesukaran biasa, dan Story lebih mudah. Saya bermain sepenuhnya menggunakan Action Focused dan saya boleh katakan ia bukanlah permainan Final Fantasy yang paling sukar, saya tidak mempunyai sebarang masalah dari awal sehinggalah ke akhir, namun kebiasaan akan mati kerana sudah kehabisan herba-herba menyembuh, yang akan diisi semula jika pemain mati, memudahkan lagi sesi pertempuran.

Andai kata pemain ingin menjadikan sesi permainan lebih mudah, selain menggunakan Story Focused, pemain juga boleh menggunakan Aksesori Timely, aksesori ini boleh digunakan untuk mendapat kebolehan tambahan seperti mengelak secara automatik, ataupun memperlahankan sesi pertempuran untuk memudahkan pemain untuk mengelak.

Jika anda mempunyai masalah yang berbeza ataupun terasa kecewa dengan tahap kesukaran yang mungkin mudah untuk anda, New Game+ di dalam permainan ini menyertakan tahap kesukaran yang lebih tinggi iaitu Final Fantasy Mode. Jika tidak ingin bermain NG+, terdapat juga pelbagai cabaran lain seperti Arcade Mode dan Stage Replay yang membolehkan saya untuk mengelubungi bahagian tertentu daripada permainan tetapi dengan menggunakan tahap semasa, tambahan itu, terdapat juga Chronolith Trials yang akan memerlukan pemain bertempur menggunakan satu elemen sahaja.

Final Fantasy XVI bukanlah satu permainan dunia terbuka dengan dunianya terbahagi kepada beberapa kawasan berlainan yang boleh dilawati dengan mempunyai rekaan-rekaan tersendiri. Kawasan ini mempunyai bahagian sampingan yang boleh diteroka tetapi ringkas sahaja, menjadikannya satu dunia yang linear, ia juga tidak terisi dengan aktiviti sampingan ataupun collectible, tetapi ada peti ataupun item yang boleh didapatkan. Oleh itu, saya tidak merasakan yang dunia Final Fantasy XVI pemain perlu luang masa untuk menjelajah akan tetapi lebih kepada melakukan misi utama, misi sampingan ataupun Hunt untuk memburu pelbagai raksasa sudah mencukupi untuk pemain menjelajah ke kesemua kawasan yang disertakan.

Walaupun satu permainan dengan rekaan linear, akan tetapi rekaan dunia, kawasan ataupun tempat-tempat di dalam permainan ini sangat menakjubkan. Bukan sahaja dengan rekaan dunia buatan manusia seperti istana ataupun kawasan perkampungan tetapi dengan dengan rekaan dunia-dunia mistik. Grafik secara keseluruhannya juga sangat baik, terdapat dua pilihan tetapan grafik iaitu Frame Rate ataupun Graphics, yang akan memberikan kadar kelancaran yang lebih tinggi ataupun fidelity grafik yang lebih tinggi. Saya telah mencuba kedua-dua mod ini, walaupun mod Frame Rate terasa lebih lancar dengan kualiti grafik masih lagi memuaskan, saya bermain kebanyakan permainan ini dengan mod Graphics kerana memberikan kadar kelancaran yang lebih stabil tetapi kedua-dua tetapan ini boleh dipilih tanpa sebarang masalah.

Seperkara mengenai rekaan grafik yang saya mempunyai rungutan kecil adalah mengenai watak NPC yang tidak mempunyai variasi. Saya sering melihat model watak NPC yang sama di beberapa tempat yang berlainan. Ia bukan masalah besar tetapi serba sedikit menjejaskan pengalaman saya bermain terutama bagi watak yang memainkan peranan di dalam misi sampingan. Masalah ini juga timbul untuk lakonan suara, bagi lakonan suara untuk kesemua watak utama adalah sangat berkualiti dan baik, akan tetapi suara untuk NPC juga kebanyakan bunyi sama bahkan ada hampir sama dengan watak utama yang serba sedikit mencacatkan sedikit pengalaman. Berlainan pula dengan runut muzik di dalam permainan ini yang bagi saya sangat-sangat sempurna dan menjadikan setiap adegan, setiap pertarungan menjadi lebih epik.

Akhir kata, Final Fantasy XVI adalah satu permainan yang cukup lengkap memberikan penceritaan yang menarik dengan sistem pertempuran yang epik. Prestasi permainan dan juga rekaan grafik di dalam permainan ini juga cukup memuaskan. Tiga rungutan yang saya boleh nyatakan adalah kurangnya politik di dalam penceritaan, watak antagonis terasa kurang dikembangkan berbanding watak protagonis menjadikan ia satu peluang yang tidak dipenuhi dan ada NPC serta lakonan suara untuk mereka terasa berulang. Namun, tiga kekurangan ini terasa kecil dengan kualiti yang disampaikan di bahagian-bahagian lain menjadikannya satu permainan Final Fantasy XVI yang akan menjadi penanda aras untuk siri-siri Final Fantasy akan datang.

Penafian: Kod permainan Final Fantasy XVI disediakan oleh Sony Interactive Entertainment bagi tujuan ulasan ini.

Final Fantasy XVI
Final Fantasy XVI adalah satu permainan yang cukup lengkap memberikan penceritaan yang menarik dengan sistem pertempuran yang epik ditambah lagi dengan muzik dan lakonan suara berkualiti. Prestasi permainan dan juga rekaan grafik di dalam permainan ini juga cukup memuaskan. Satu permainan Final Fantasy XVI yang akan menjadi penanda aras untuk siri-siri Final Fantasy akan datang.
Positif
Penceritaan Dan Perwatakan Yang Menarik
Rekaan Grafik Dan Prestasi Yang Baik
Sistem Pertempuran Yang Memuaskan Dan Epik
Muzik Yang Sempurna Dengan Adegan
Negatif
Kurang Politik Di Dalam Penceritaan
Watak Antagonis Sedikit Lemah
10

Sohor Kini