Ubisoft sebelum ini telah mengumumkan yang The Division Resurgence akan dilancarkan pada akhir tahun ini, dengan pra-pendaftaran sudah dibuka untuk pemain-pemain di Malaysia. Saya berpeluang untuk mencuba versi beta bagi The Division Resurgence dan ini adalah pendapat awal saya mengenainya.
The Division merupakan antara IP terawal yang memperkenalkan saya kepada genre looter shooter, dan saya sebelum ini telah mengeluarkan ulasan untuk The Division 2 semasa ia dikeluarkan pada tahun 2019. Walaupun saya sudah beberapa tahun tidak membuka The Division 2 tetapi dengan bermain The Division Resurgence ia membuatkan saya mengenangkan kembali permainan ini.
Resurgence menawarkan penceritaan baharu untuk The Division di mana ia bermula dari awal lagi, selepas kejadian “Dollar Flu” mula merebak di New York pasukan The Division diaktifkan dan permainan ini memperlihatkan yang ejen-ejen The Division adalah orang biasa sahaja semasa tidak bertugas.
Permainan ini bermula dengan saya perlu menghasilkan watak tersendiri dan memilih satu daripada empat Specializations iaitu Tech Operators, Vanguard, Bulwark dan Demolitionists dengan setiapnya mempunyai kemahiran yang berbeza. Saya mengambil Vanguard yang mempunyai kemahiran untuk mengimbas kawasan sekitar untuk melihat penjahat dan juga menghasilkan pelindung.
Penceritaan di dalam permainan ini, sekurang-kurangnya untuk di peringkat awal disampaikan dengan memuaskan walaupun dialog dan lakonan suara bukanlah yang terbaik. Namun, ia mencukupi untuk menyampaikan kepada pemain mengenai apa yang berlaku dan pada masa mencipta perhubungan dengan beberapa watak.
Semasa saya bermain The Division 2, walaupun penceritaan bukanlah fokus utama akan tetapi ia masih disampaikan dengan baik dan saya menjangkakan yang Resurgence juga akan melakukannya dengan baik untuk menjadi pengisian tambahan bagi permainan ini.
Fokus utama bagi permainan ini sudah semestinya ‘shooter’, dan pengalaman yang diberikan adalah baik. Ia memberikan perasaan yang sama dengan semasa saya bermain The Division 2 tetapi kawalan sepenuhnya menggunakan telefon pintar.
Menembak, dan menggunakan kebolehan saya boleh lakukan dengan baik, hanya memasuki serta keluar dari cover sahaja terasa kekok. Ia mungkin akan menjadi lebih baik apabila saya bermain dengan lebih lama, tambahan pada itu, menggunakan alat kawalan juga boleh menjadi pilihan untuk pemain bagi mendapatkan pengalaman yang lebih baik.
Manakala bahagian ‘looter’ juga adalah seperti The Division 2 dengan senjata dan juga gear mempunyai rarity yang berbeza mengikut warna iaitu Worn (Putih), Standard (Hijau), Specialized (Biru), Superior (Ungu), High-End (Jingga) dan Exotic (Merah). Saya masih di peringkat awal dan sekadar menjumpai Superior sahaja yang paling tinggi.
Setiap senjata dan gear ini mempunyai jumlah Health dan Armor yang berlainan untuk menguatkan lagi watak saya. Cara paling mudah untuk memeriksa barangan yang terbaik adalah menggunakan Power Score, ia juga akan menentukan sama ada anda boleh melakukan sesuatu aktiviti ataupun tidak. Selain itu, terdapat juga kelebihan jika menggunakan barangan daripada set yang sama.
Saya tidak lagi membuka banyak kawasan di dalam Resurgence tetapi dengan apa yang diperlihatkan, saya boleh jangkakan yang terdapat pelbagai aktiviti akan mengisi peta, dan setiap misi-misi yang ada ini juga mempunyai pilihan untuk melakukan bersama dengan pemain lain melalui “Team Matchmaking” ataupun melakukannya secara solo.
Ubisoft sebelum ini, dan juga seperti yang diperlihatkan di peta, telah mengesahkan yang mod Dark Zone akan disertakan di dalam Resurgence. Ia adalah satPu kawasan yang lebih berbahaya tetapi akan menjanjikan loot yang lebih berkualiti. Selain PvE, PvP juga akan disertakan untuk memberi lebih pilihan kepada pemain.
Saya mencuba The Division Resurgence di iPhone 14 Pro Max dan dapat menggunakan tetapan yang tertinggi tanpa sebarang masalah termasuk juga tahap kelancaran. Saya juga boleh katakan yang ia juga kelihatan sangat baik. Perkara yang saya puji semasa mengulas The Division 2 adalah bagaimana mereka mencipta persekitaran di bandar, dan saya dapat melihat perkara yang sama untuk Resurgence.
Selain itu grafik rekaan watak dan juga adegan-adegan di dalam permainan ini juga dihasilkan dengan memuaskan. Jika bermain menggunakan touchscreen saya boleh katakan yang ia mungkin nampak sedikit bercelaru tetapi tidak mengambil masa yang lama untuk saya menjadi biasa dengannya.
Akhir kata, The Division Resurgence berjaya untuk membawa pengalaman The Division ke peranti pintar dengan kebanyakan aspek di dalam permainan ini disampaikan dengan baik. Kawalan ada masa terasa janggal tetapi akan menjadi lebih baik selepas lebih biasa dengannya, selain itu ia juga mempunyai sokongan alat kawalan sepenuhnya.
Persoalan sudah semestinya adalah selepas dilancarkan kelak, adakah Ubisoft dan Level Infinite selaku penerbit untuk permainan ini akan menyertakan kandungan baharu dari semasa ke semasa, kerana siri permainan The Division popular kerana pelbagai kandungan yang tiba pasca-pelancaran. Sama-sama kita nantikan apabila ia dilancarkan secara rasmi akhir tahun ini.
Penafian: Sesi beta untuk The Division Resurgence disediakan oleh Level Infinite. Ia akan dilancarkan sebagai permainan percuma untuk iOS dan Android.