Ubisoft ketika acara Ubisoft Forward mereka telah berkongsi lanjut mengenai permainan Avatar: Frontiers of Pandora, mereka telah berkongsi treler baharu dan juga berkongsi lebih mendalam mengenai tatamain bagi permainan tersebut.
Bagi treler anda boleh tontonnya di bawah.
Di dalam permainan ini, anda akan menjadi seorang Na’vi yang telah diculik pada waktu kecil oleh RDA untuk belajar cara bertempur seperti manusia, satu premis yang lebih kurang dengan filem Avatar. Namun, akibat peperangan yang berlaku, RDA telah meninggalkan kawasan tersebut.
Watak pemain kemudiannya diletakkan di dalam cryosleep dan bangun 15 tahun kemudian sebagai seorang yang asing di tempat sendiri. Menyedari yang RDA kembali dan mengancam Pandora, pemain perlu cuba untuk bersama dengan puak-puak lain untuk menentang mereka.
Avatar: Frontiers of Pandora adalah permainan aksi pengembaraan first-person dan dunia terbuka. Perkongsian lanjut mengenai tatamain boleh ditonton melalui video di bawah.
Bagi mengembara dunia Pandora yang luas ini, pemain boleh menggunakan Ikran iaitu haiwan terbang di dunia tersebut. Manakala untuk pertempuran watak pemain yang dilatih oleh manusia, boleh menggunakan senjata-senjata manusia dan juga senjata tradisi Pandora.
Pemain juga akan mengembara untuk mencari sumber bagi meningkatkan tahap ataupun menghasilkan senjata baharu. Manakala bagi watak pemain sendiri, tahap boleh ditingkatkan untuk bergerak dengan lebih baik, boleh menyelinap dengan berkesan, ataupun dapat menggunakan senjata dengan lebih berkesan.
Selain melakukan misi utama dan misi sampingan, pemain juga boleh menyerang tempat-tempat RDA yang membuat kekotoran di Pandora. Membebaskan kawasan ini akan memberi kesan kepada keadaan persekitaran di Pandora. Berdasarkan yang diperlihatkan, kami boleh katakan yang permainan ini adalah permainan Far Cry yang berlaku di Pandora.
Avatar: Frontiers of Pandora akan dikeluarkan pada 7 Disember 2023 untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.