Pada awal pagi tadi ketika Summer Game Festival, Insomniac Games telah mengumumkan yang Marvel’s Spider-Man 2 akan tiba pada 20 Oktober 2023 untuk PlayStation 5. Selain itu, PlayStation juga telah mengumumkan yang permainan ini akan menerima tiga edisi iaitu Standard Edition, Digital Deluxe Edition dan Collector’s Edition.

Mereka juga mengumumkan yang sesi pra-tempahan akan bermula pada 16 Jun 2023 dan setiap pra-tempahan ini akan mendapat 2 kostum (boleh didapatkan di dalam permainan tanpa pra-tempah), Web Grabber Gadget dan 3 Skill Points.

Standard Edition akan ditawarkan dengan harga RM299, manakala Digital Deluxe Edition yang ditawarkan dengan harga RM339 menyertakan 10 lagi kostum iaitu 5 untuk Peter dan 5 untuk Miles bersama dengan hiasan untuk mod foto dan 2 Skill Points.

Paling mahal dan menarik sudah semestinya Collector’s Edition yang ditawarkan dengan harga RM969. Edisi ini menyertakan figura Venom yang sedang berlawan dengan kedua-dua Spider-Man. Figura ini bersaiz 19-inci. Selain itu, edisi ini turut menerima Steelbook dan permainan secara digital.

Sohor Kini