Sewaktu saya membeli Nintendo Switch terpakai sekitar tahun 2018, Octopath Traveler merupakan satu permainan yang turut diberikan bersamanya. Pada waktu tersebut, saya tidak mengetahui sebarang informasi berkenaan permainan ini, namun selesai memainkannya, saya berasa ia merupakan satu permainan yang dihasilkan dengan sangat baik dari pelbagai sudut.
Saya tidak melakukan ulasan untuk permainan pertama tersebut, tetapi pengulas kami sebelum ini bersetuju dengan pendapat saya itu yang anda boleh baca di pautan berikut; Ulasan Octopath Traveler.

Perkara seperti kebolehan memainkan 8 watak, penetapan Job Class, penceritaan dan juga gaya permainan dan dilengkapi dengan runut lagu yang digubah penuh rentak menjadikan saya ingin bermain sebarang siri Octopath ini.
Selang beberapa tahun apabila Octopath Traveler 2 mula dijual tahun ini, saya telah berkesempatan bermain selama 100 jam dan pada hemat saya, Octopath Traveler 2 ini jauh lebih baik dari yang pertama.

Octopath Traveler 2 ini bukanlah kesinambungan dari permainan pertama, kerana dari segi penceritaan ia membawakan cerita yang lain, akan tetapi diselitkan dengan beberapa intipati dari permainan terdahulu. Terdapat juga beberapa watak NPC yang dibawa dari permainan terdahulu dan juga senjata dengan kebolehan yang sama dibawa kedalam episod ini.
Saya akan mulakan ulasan ini dengan satu perkara yang terlalu baik untuk permainan ini dan bagi tujuan memendekkan nama, saya akan namakan OT1 untuk Octopath Traveler 1 dan OT2 untuk yang terbaharu, Octopath Traveler 2.
Tempoh Pertempuran Dan Babak Khas Yang Boleh Dilajukan

Untuk setiap permainan Turn-Based, kadangkala dalam mengambil turutan itu akan mengambil masa, dan juga animasi yang berlaku apabila setiap aksi dilakukan dan juga setiap kesan-kesan khas itu pastinya akan mengambil masa. Ini mungkin satu perkara yang kerap dialami oleh peminat permainan Turn-Based, dan mungkin boleh membuatkan pemain cepat berasa penat/bosan jika tidak meminati genre ini.
Pada OT2, terdapat pilihan untuk pemain melajukan waktu pertempuran. Apabila dilajukan, kesemua animasi, pergerakan, kesan khas akan bertambah laju. Ini boleh dilaksanakan dengan sentuhan butang, dan pemain boleh menukarnya pada bila-bila masa.

Saya menggunakan fungsi ini untuk melajukan kesemua waktu pertempuran. Lebih menarik lagi memandangkan Nintendo Switch mempunyai kelemahan dari segi kadar FPS, apabila dilajukan, ia tampak lebih menarik dan lancar.
Malah pilihan Babak Khas (Cutscenes) turut boleh dilajukan, namun apabila dilajukan secara automatik, tiada suara dialog akan dimainkan. Namun seperkara mengenai Babak Khas yang dilajukan, saya merasakan teks yang dipaparkan adalah terlalu singkat dan tidak dapat habis dibaca. Jadi saya sendiri biasanya menetapkan Babak Khas untuk dimainkan pada kelajuan asal. Fungsi ini berkemungkinan disertakan bagi pemain yang mengulangi sesi permainan dan tidak perlu mengetahui lebih lagi mengenai penceritaan.

Path Actions Dengan Pilihan Waktu Siang Malam Memberikan Lebih Interaksi Dan Aksi
Satu perkara yang unik pada OT1 adalah Path Actions yang dilihat dapat memberikan pelbagai interaksi dengan NPC. Malah Path Actions ini juga dapat membuatkan pemain betul-betul memilih watak pertama yang ingin mereka mainkan kerana setiap Path Action memberikan ganjaran berbeza, seperti contoh jika anda memilih watak Thief, anda boleh mencuri barangan dari NPC, dengan peratusan kebarangkalian untuk berjaya yang tinggi.

Untuk OT2, dengan hadirnya sistem waktu Siang Malam dalam permainan, ia turut memberikan satu lagi pilihan Path Actions buat pemain. Jika Thief boleh mencuri di siang hari, pada waktu malam mereka boleh pengsankan NPC, dan Path Actions ini sangat berguna bagi mengakses ruang-ruang yang biasanya dikawal oleh NPC.
Malah dengan kewujudan pilihan waktu permainan Siang dan Malam, NPC juga dilihat mempunyai kedudukan berlainan sesuai dengan waktunya. Mungkin anda boleh berjumpa watak Datuk Bandar di luar, dan dirumahnya sewaktu malam. Pilihan waktu permainan ini juga dapat mengaktifkan skil pasif beberapa watak tertentu seperti contoh Temenos yang merupakan Paderi, dan membuatkan pertahanan musuh lebih rendah sewaktu pertempuran menerusi skill ‘Moonlight Judgement’.

Paparan Antaramuka Permainan Yang Lebih Kompak
Jika diteliti perbezaan antara OT1 dan OT2, terdapat perubahan antaramuka yang bukan sahaja dapat memuatkan lebih perkara, bahkan memudahkan pemain. Seperti contoh jika OT1 memaparkan Boost Points dibawah nama watak, OT2 pula memaparkan Boost Points disebelah nama watak. Ia juga dilihat menggunakan saiz teks yang sedikit besar berbanding sebelum ini.

Didalam tetapan menu kelengkapan pula, OT2 membawakan pilihan untuk menguncikan peralatan dengan watak-watak yang diinginkan. Jadi ini dapat memudahkan proses persenjataan semula apabila pemain menukar Job Skill. Acapkali apabila menukar Job Skill, senjata mungkin akan bertukar, jadi pilihan mengunci senjata adalah satu penyelesaian kecil namun besar ertinya untuk pemain tegar.
Kombinasi ‘Crossed Paths’ yang menarik dan menjodohkan watak
Dalam OT1, terdapat ‘Banter’ iaitu babak sembang diantara watak, apabila watak tersebut didalam pasukan yang dimainkan. OT2 membawa setapak lagi dalam penceritaan dengan mencipta beberapa Side Stories yang perlu dilaksanakan dengan pasangan watak yang ditetapkan.

Malah ia turut memanfaatkan Path Actions setiap watak baik pada waktu siang dan malam. Menerusi ini juga, bukan sahaja pemain akan secara tidak langsung dilatih menggunakan kebolehan Path Action dengan kerap, dan dapat menyelesaikan bukan sahaja Side Stories, malahan Side Quest yang sentiasa ada di setiap bandar.

Terdapat Epilog Bagi Menutup Permainan
Satu perkara yang membuatkan saya pelik apabila bermain Octopath Traveler yang pertama adalah ia tiada sebarang episod penamat. Saya telahpun menghabiskannya dengan bertarung dengan Galdera namun tiada sebarang petunjuk didalam siri pertama permainan ini. Malah ia lebih bersifat jika pemain ingin mencari penamat tersembunyi.

Pada Octopath Traveler 2, jelas sekali terdapat episod penamat yang turut memberikan babak khas untuk semua watak yang dimainkan, seolah-olah memberikan penutup sempurna setelah keseluruhan pengembaraan ini dilakukan.

Kini Sehingga 3 Watak Berbeza Boleh Mempunyai Second Job Yang Sama
Salah satu perkara baharu dalam OT2 adalah kewujudan Guild yang membolehkan Job Class yang sama digunakan sehingga 3 watak berbeza. Ini sama sekali berbeza dengan OT1 yang hanya membolehkan 1 Job Class alternatif untuk satu watak, dan tidak membenarkan watak berlainan mempunyai Job Class yang sama.

Namun untuk pemain memainkan 3 watak dengan 1 Job Class yang sama, pemain terlebih dahulu perlu melaksanakan misi khas yang diberikan Guild Master bagi mendapatkan ‘License’ tambahan. Seperti contoh untuk Job Class Merchant, pengguna perlu membayar wang sehingga 300,000 untuk mendapat 2 License tambahan, untuk digunakan pada watak selain Partitio.
Tapi apalah kiranya permainan yang penuh dengan kehebatan, tetap ada sisi yang dirasakan sebagai kekurangan. Pada pendapat saya, jika dibandingkan dengan OT1 yang juga telah saya mainkan lebih dari 100 jam, inilah kekurangan yang anda dapat rasai jika anda sebelum ini telahpun bermain OT1.
Penceritaan Dan ‘Dungeon’ Yang Dirasakan Cepat
Sewaktu memainkan OT2, saya dapat rasakan penceritaannya dirasakan cepat, dan cepatnya bukanlah kerana kelajuan penceritaan yang boleh diubah, akan tetapi pengembaraan didalam ‘dungeon’ permainan tampak singkat dan lebih cepat berbanding OT1. Malah terdapat perbezaan jumlah misi setiap watak, dengan ada sesetengah watak mempunyai 4 babak, dan sesetengah pula mempunyai sehingga 5-6.

Salah satu watak pula iaitu Osvald akan memberikan notis kepada pemain yang mana untuk memulakan watak tersebut, babak pertama akan mengambil masa yang panjang. Dan ini tidak berlaku untuk watak-watak yang lain.
Dan apabila bercakap mengenai ‘Dungeon’ pada OT2, terdapat beberapa ‘Dungeon’ yang sangat mencabar dan jauh perjalanannya, namun kebanyakannya masih terasa singkat dan tidak kompleks seperti OT2. OT1 walaupun mempunyai jalan cerita mendatar untuk setiap watak, namun terdapat cerita besar yang menggabungkan semua watak, dan lebih kompleks dan mencabar. Ini jauh berbeza dengan kesudahan OT2 yang hanya membawa semula Galdera tetapi dalam skala lebih kecil.
Aktiviti Selepas Permainan Tamat Kurang Mencabar
Didalam OT1, apabila pergi ke Gate of Finis sebelum berlawan musuh terakhir iaitu Galdera, pemain akan bertemu semula dengan 8 musuh utama setiap watak. Ini bukan sahaja memberikan cabaran untuk pemain, bahkan membolehkan pemain mengingati semula teknik dan cara untuk menewaskan musuh utama, bagi menaikkan tahap watak untuk berlawan dengan Galdera.

Berbeza dengan OT2, dimana hanya terdapat 4 musuh utama sewaktu babak terakhir, dan tiada sebarang musuh awal sebelum bertemu Galdera. Jadi jika tahap pemain terlalu rendah, pemain perlu bermain di kawasan lain bagi menaikkan tahap sebelum berlawan Galdera dalam OT2.
Path Action Dengan Banyak Pilihan, Menjadikan Ia lebih Mudah
Tidak dinafikan Path Action menjadikan OT1 lebih menarik dengan 8 pilihan aksi berbeza untuk NPC dan dengan OT2, ia menggandakan pilihan tersebut dengan adanya perbezaan Siang Malam. Akan tetapi, kebanyakan Path Action masih bersifat sama iaitu
- Mendapatkan Info (Inquire / Coerce / Bribe / Scrutinize)
- Mendapatkan Barang (Steal / Mug / Purchase / Entreat)
- Mengajak Orang (Allure / Befriend / Hire / Guide)
- Berlawan/Menewaskan Orang (Provoke / Soothe / Challenge / Ambush)
Dengan 4 jenis Path Action yang sama, ia memberikan lebih cara untuk pemain mencapai tujuan mereka namun secara tak langsung, ia menjadikan permainan jauh lebih mudah. Dan tidak mustahil sewaktu anda hanya mempunyai 2 watak, anda sudah boleh melakukan pelbagai perkara, tanpa memerlukan watak lain turut serta.

Misalnya jika anda menggunakan watak Ochette (Provoke / Befriend) dan Osvald (Scrutinize / Mug) anda sudahpun mempunyai 4 jenis Path Action berbeza, dan hanya perlu digunakan pada waktu berbeza. Jelas sekali anda dapat melaksanakan kesemuanya jauh lebih mudah.
Dan jika anda memilih Partitio yang boleh melakukan pembelian barangan (Purchase), dengan kebolehan orang yang diajak Partitio (menerusi Hire), pemain boleh menjimatkan perbelanjaan dalam pembelian barangan, dan ini akan membuatkan kebanyakan barangan menjadi lebih murah untuk dibeli pemain.
Secara kasarnya dapat disimpulkan Octopath Traveler 2 berjaya memberikan pelbagai kemaskini yang membuatkan permainan lebih menarik, malah untuk pertama kalinya OT2 turut dilancarkan di pelbagai platform serentak, memberikan peluang untuk lebih ramai pemain merasai keunikan permainan ini.

Kemaskini yang membuatkan pemain mempunyai lebih banyak Path Actions, dan juga animasi yang ditambah baik sewaktu permainan, serta skala babak montaj yang lebih baik dari OT1 boleh membuatkan sesiapa yang bermula dengan OT2, mungkin tidak akan memainkan OT1.
Dan bagi saya, saya masih akan membeli OT3 dan akan menanti apakah pembaharuan didalam permainan akan dibawakan oleh Square Enix dan Acquire.
Penafian: Kod permainan Octopath Traveler 2 untuk Nintendo Switch disediakan oleh Square Enix bagi tujuan ulasan ini. Octopath Traveler 2 dikeluarkan untuk PS5, PS4, Nintendo Switch dan PC.