Netflix baru-baru ini telah memperkenalkan bayaran tambahan bagi pelanggan yang ingin berkongsi penggunaan dengan kenalan yang tidak serumah. Walaupun tidak dilakukan secara meluas lagi, akan tetapi ini mungkin adalah petanda yang Netflix akan menyekat aktiviti perkongsian akaun.
Perkara ini telah mencetus pelbagai reaksi daripada pelanggan, termasuk juga ada yang mengatakan mereka akan membatalkan akaun – sesuatu yang sudah dijangkakan oleh Netflix. Selain itu, pesaing untuk Netflix iaitu Prime Video juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pelanggan yang mereka masih membenarkan perkongsian akaun/kata laluan.
Prime Video juga berkongsi ciapan tersebut sebagai quote untuk ciapan daripada Netflix pada 6 tahun lepas yang mengatakan “Love is sharing a password” ataupun “Cinta itu adalah berkongsi kata laluan” yang sudah semestinya menjadi ironi dengan perkembangan terbaru hari ini.
Prime Video boleh dilanggan dengan harga RM25 sebulan dan boleh digunakan di tiga peranti pada satu masa.