Pada awal bulan ini, kami sudah berkongsi mengenai filem tempatan iaitu Tiger Stripes akan ditayangkan di Festival Filem Cannes, terbaru ketika acara Cannes Critics Week ataupun Semaine De la Critique Cannes 2023 filem tersebut telah memenangi anugerah utama.

Dengan kejayaan ini, Amanda Nell Eu menjadi pengarah pertama dari Malaysia dan juga Asia Tenggara yang memenangi anugerah tersebut.

“Filem ini adalah untuk kita semua agar dapat menerima dan bangga dengan diri kita sendiri” katanya semasa menerima anugerah tersebut. Beliau juga berterima kasih kepada festival, juri, pelakon dan juga krew yang terlibat dengan filem ini.

Filem ini memfokuskan watak Zaffan lakonan Zafreen Zairizal yang berusia 12 tahun yang mula menyedari tubuhnya melalui perubahan yang mengerikan. Namun dia kemudiannya bersemangat, tabahkan diri dan menempuhi segala perubahan berlaku untuk menjadi seorang wanita yang gagah.

Senarai pelakon adalah Zafreen Zairizal, Shaheizy Sam, June Lojong, dan Fatimah Abu Bakar. Buat masa ini masih tiada tarikh tayangan untuknya, tetapi dijangkakan yang Tiger Stripes akan menyertai festival-festival filem terlebih dahulu sebelum ditayangkan di pawagam.

Sumber: Malaysiakini

Sohor Kini