Viu hari ini telah melancarkan kandungan Viu Original kedua mereka bagi tahun 2023 iaitu Alter-Naratif. Siri ini akan mula disiarkan di perkhidmatan penstriman tersebut pada 25 Mei 2023 dengan episod-episod seterusnya akan tiba pada setiap hari Khamis – siri ini akan mempunyai 8 episod keseluruhannya.

Alter-Naratif merupakan thriller psikologi dengan idea asal oleh Aina Izzah, yang merupakan pemenang Viu Pitching Forum 2021. Siri ini dikembangkan lagi oleh ketua penulis, Rafidah Abdullah (She Was Pretty, Istanbul Aku Datang!, Gol & Gincu) dan diarahkan oleh Faisal Ishak (Isteri Misteri, Juvana, Nur Kasih).

Siri ini menceritakan kisah Mel Isa, seorang Ketua Pegawai Eksekutif di Electric Dust Agency (EDA), sebuah syarikat yang membangunkan teknologi yang boleh memadam dan menggantikan memori orang. Mel memperjuangkan teknologi tersebut sebagai masa depan untuk terapi psikologi, bagi membantu mangsa trauma membina semula kehidupan mereka. Namun, apabila dia mula pitam dan mengalami halusinasi, dia mula mengesyaki bahawa memorinya sendiri telah diolah. Siasatannya mendedahkan korupsi syarikatnya sendiri dan menghidupkan kembali jenayah yang berlaku 20 tahun lalu. Mel mula mempersoalkan dirinya dan siapa yang dia boleh percayai.

Antara senarai pelakon adalah Nabila Huda, Liyana Jasmay, Neera Azizi, Gambit Saifullah, Rahim Omar, Adlin Aman Ramlie, Namron, Anas Ridzuan dan Gisnervern Arikrishnan.

Sohor Kini