Sebelum saya teruskan dengan ulasan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucap tahniah kepada semua yang terlibat di dalam filem Anwar: The Untold Story. Tahniah kerana produksi untuk filem ini bermula sebelum Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia, oleh itu mereka ‘bermain dengan api’ untuk menghasilkan satu filem mengenai seorang ketua pembangkang. Malangnya, itu sahaja pujian yang saya boleh berikan kepada filem ini.
Ini adalah kerana, filem ini gagal untuk melakukan banyak perkara termasuk juga perkara-perkara asas yang diharapkan daripada satu filem. Perkara pertama yang filem ini gagal untuk lakukan adalah membuatkan saya sebagai penonton percaya dengan apa yang terjadi dengan filem ini. Saya gagal untuk percaya yang Farid Kamil adalah Anwar Ibrahim, Acha Septriasa sebagai Wan Azizah ataupun Hasnul Rahmat sebagai Mahathir. Saya juga tidak percaya yang pelakon-pelakon tambahan adalah polis ataupun penyokong gerakan Reformasi.
Apabila sesuatu filem gagal untuk membuatkan “believable” bagi saya itu adalah satu kesalahan besar yang turut memberi kesan kepada bahagian-bahagian lain filem ini. Walaupun filem ini lebih kurang 90 minit sahaja, akan tetapi terasa sangat lama dan saya sekadar ternanti-nanti untuk nama-nama pelakon disenaraikan. Farid Kamil adalah pelakon berpengalaman, tetapi pembawaan dia sebagai Anwar kurang menjadi, Acha Septriasa juga bukan pelakon biasa-biasa akan tetapi dia tidak diberi ruang yang mencukupi untuk menyampaikan watak ini, begitu juga dengan Hasnul Rahmat yang kualiti lakonannya sudah terbukti sebelum ini.
Mungkin seperti yang saya katakan di atas, semasa filem ini memulakan produksi, ia merupakan filem mengenai ketua pembangkang, oleh itu filem ini melakukan perfileman di Indonesia yang serba sedikit mencacatkan untuk menjadikan sesuatu adegan itu saya boleh percayai berlaku di Malaysia. Ini juga membuatkan beberapa adegan penting di dalam peringkat awal reformasi tidak dapat dilakukan dengan baik, sebaliknya sekadar menjadi sebutan di dalam dialog sahaja seperti ucapan Anwar Ibrahim di Masjid Negara.
Tambahan kepada masalah yang saya nyatakan di atas, filem ini juga mempunyai masalah suntingan yang sangat mengganggu pengalaman menonton. Sering kali berlaku pemindahan adegan yang mengejut dan tidak kemas, suntingan muzik latar yang gopoh menjadikan filem ini bagaikan satu filem seram kerana muzik tiba-tiba menjadi kuat. Masalah continuity adegan sangat jelas di dalam filem ini, ada masa babak memfokuskan kepada sesuatu perkara, beralih ke perkara yang lain, sebelum kembali ke babak yang sebelum ini.
Masalah continuity membuatkan segala yang ingin disampaikan menjadi bercelaru dan saya masih dapat memahami apa yang berlaku atas sebab saya mengetahui mengenai perkara-perkara tersebut, contohnya Anwar Ibrahim cuba membawa pindaan bagi Akta Pencegahan Rasuah 1997, PETRONAS melakukan bail-out dan pelbagai lagi. Bagi yang tidak mengetahui mengenai perkara ini, filem ini akan menjadi sangat mengelirukan kerana penyampaian yang sangat bercelaru. Kebanyakan adegan tidak mempunyai perkara asas penceritaan, iaitu permulaan, klimaks dan pengakhiran, sebaliknya ada sekadar klimaks, ada sekadar pengakhiran sahaja.
Contoh yang paling senang untuk saya berikan adalah ada satu adegan Anwar sedang bercakap dengan saya rasakan seorang pemberita, di mana mereka sedang bercakap mengenai Anwar Ibrahim seorang Menteri Kewangan yang baik, namun adegan tiba-tiba beralih kepada Anwar melawat sekolah di pedalaman. Kedua-dua adegan ini menjadi tidak masuk akal kerana tiadanya continuity yang jelas.
Sebagai satu filem berkait dengan tokoh politik, filem ini juga sangat cetek elemen politiknya yang sangat mengecewakan. Tiada diperlihatkan bagaimana sesuatu dirancang, tidak diperlihatkan bagaimana Anwar menjadi popular di dalam UMNO, ataupun bagaimana dia menjadi menteri pendidikan serta menteri kewangan. Satu perkara yang penting bagi penceritaan politik adalah penonton dapat mengetahui individu-individu yang terlibat di dalam sesuatu adegan, di dalam filem ini setiap individu yang terlibat terasa sangat rawak dan tidak memberi kesan kepada adegan tersebut.
Akhir kata, Anwar Ibrahim adalah satu tokoh politik yang mempunyai penceritaan menarik untuk disampaikan sebagai Perdana Menteri pertama yang pernah dipenjarakan sebelum memegang jawatan tersebut. Malaysia juga boleh dikatakan masih kekurangan filem politik yang baik walaupun dunia politik kita juga tidak kurang menerik berbanding negara-negara lain. Namun, filem Anwar: The Untold Story gagal bukan sahaja untuk memperlihatkan Anwar sebagai tokoh perjuangan, ataupun menyampaikan penceritaan politik yang baik.
Ini ditambah lagi dengan filem ini gagal untuk melakukan perkara-perkara asas dengan baik seperti suntingan dan juga continuity di dalam penghasilan sesuatu adegan. Ini secara langsungnya menjadikan filem ini sangat mengecewakan. Satu-satu perkara positif yang saya berharap dapat hadir daripada filem ini adalah ia akan menjadi kad jemputan ataupun lampu hijau untuk produksi-produksi filem menghasilkan filem-filem yang memfokuskan kepada politik, kerana saya rasakan industri filem Malaysia memerlukannya.