Selepas hampir 22 tahun, francais The Fast Saga sudah menghampiri pengakhiran dengan tibanya Fast X, namun filem Fast X telah disahkan akan mempunyai bahagian kedua, dengan Vin Diesel juga mengatakan yang ia mungkin akan menjadi trilogi secara sendiri. Oleh itu, walaupun menjadi satu ‘pengakhiran’ francais ini masih mempunyai beberapa tahun lagi dan ini tidak termasuk pelbagai filem sampingan yang mungkin akan hadir.
Dengan telah memasuki filem ke-10 dengan mempunyai lebih 22 tahun pengalaman adakah Fast X sebagai filem pertama untuk pengakhiran melakukan satu kerja yang baik di dalam menjadi satu rumusan untuk francais ini? Jawapan yang ringkas saya boleh katakan adalah tidak, tetapi ini bukanlah mengejutkan kerana mana-mana filem di dalam The Fast Saga tidak dihasilkan untuk benar-benar memperlihatkan kesinambungan, ataupun kemajuan sesuatu penceritaan, sebaliknya setiap filem lebih kepada filem kendiri dan begitu juga dengan Fast X.
Sebab utama mengapa saya merasakan film Fast X seperti mana-mana filem di dalam francais sebagai filem kendiri adalah pembinaan watak yang tidak berkembang sejak beberapa filem yang lepas. Disebabkan tiada perkembangan yang signifikan untuk mana-mana watak ini, setiap kali mereka muncul termasuk juga di dalam filem terbaru ini, mereka masih lagi watak yang sama yang kita kenali dan mungkin suka(?).
Ini bukan masalah kerana mereka tidak ingin mencuba, sebaliknya setiap cubaan untuk mengembangkan watak, terutama untuk watak utama seperti Dominic Toretto terasa kurang menjadi. Di dalam filem sebelum-sebelum ini, mereka cuba menggunakan ahli kumpulan, ataupun isterinya Letty, emak kepada anaknya, adiknya, dan di dalam Fast X ini mereka cuba pula menggunakan anaknya bersama dengan beberapa watak yang tiba-tiba hadir.
Kesemua perkara itu telah menjadi plot utama di dalam The Fast Saga dan bagi saya mereka cuba untuk menjadikan perkara itu sebagai sesuatu yang diambil serius, lebih daripada sepatutnya. Sebaliknya bagi saya, yang telah mengikuti francais ini lebih separuh umur saya merasakan kekuatan utama untuk filem ini adalah apabila mereka membuang segala logik akal dan sekadar berseronok di dalam menghasilkan penceritaan dan aksi yang mengasyikkan walaupun tidak bersandarkan kepada continuity ataupun hukum fizik.
Disebabkan perkara ini lah saya boleh katakan yang kelemahan utama filem Fast X adalah apabila mereka terlalu mencuba untuk membuatkan saya menjiwai ataupun simpati dengan mana-mana watak, ataupun merasa kagum dengan kesetiaan Dominic Toretto dan juga ahli-ahli kumpulannya di dalam menjaga sesama sendiri – saya faham mengapa perkara ini disertakan, ini adalah tema utama untuk francais ini, namun saya merasakan yang mereka tidak terlalu memfokuskan bahagian ini dan penonton seperti saya tidak perlu terus menerus dipersembahkan dengan perwatakan yang sama. Dengan kata lain – saya sudah kenal dengan semua watak ini.
Selepas pembinaan watak, ataupun cubaan untuk membina watak dan penceritaan ini tidak lagi dipaparkan – Fast X akan memperlihatkan perkara yang jauh lebih baik, dan secara jujurnya perkara yang saya jangkakan daripada filem ini, iaitu aksi yang melampau dan melanggar segala hukum alam. Berita baiknya, adegan-adegan aksi ini lebih memenuhi filem ini yang serba sedikit membantu untuk membuatkan saya lupa mengenai bosannya bahagian ‘penceritaan’ di dalam Fast X. Aksi yang diperlihatkan adalah seperti yang sudah dijangkakan daripada filem francais ini, dan saya boleh katakan apa yang disertakan dalam Fast X adalah antara yang terbaik berbanding beberapa filem The Fast Saga sebelum ini.
Sebagai filem yang menuju ke pengakhiran, Fast X juga telah menyertakan kebanyakan watak-watak yang tiba sebelum ini dan setiap daripada mereka diberikan peluang untuk mempunyai aksi tersendiri dan saya boleh katakan terkejut dan kagum kerana mereka berjaya untuk memastikan setiap watak ini diberi peluang yang mencukupi untuk membuat penampilan di dalam aksi-aksi ganas. Pada masa yang sama, filem ini juga memperkenalkan beberapa watak baharu seperti Brie Larson sebagai Tess iaitu anak kepada Mr. Nobody, walaupun penglibatan dia di dalam filem ini sangat minimum, akan tetapi masih masih menarik untuk melihat bagaimana lagi watak-watak yang baru diperkenalkan ini dibawa ke filem-filem seterusnya.
Satu watak baharu yang menjadikan filem Fast X ini menjadi antara filem terbaik bagi francais ini adalah watak Dante Reyes lakonan Jason Momoa iaitu watak jahat utama untuk filem ini. Dia merupakan anak kepada Herman Reyes iaitu watak jahat di dalam filem Fast Five. Apa yang ingin dilakukan oleh Dante Reyes adalah seperti mana-mana watak jahat lain yang tiba di dalam francais ini akan tetapi pembawaan Jason Momoa adalah berbeza dan memberi nafas yang segar kepada filem ini.
Sedikit mengecewakan adalah walaupun Fast X ini terisi dengan perlawanan ‘cat & mouse’ di antara Dante Reyes dan Dominic Toretto akan tetapi mereka tidak diberikan adegan yang berkualiti bersama – sebaliknya kebanyakan perhubungan mereka sekadar melalui walkie-talkie selain memperlihatkan aksi berasingan untuk mereka berdua. Mungkin perkara ini disimpan untuk filem susulan tetapi saya mengharapkan lebih lagi.
Selain aksi, Fast X juga meneruskan tradisi filem ini untuk menyertakan perkara-perkara yang tidak masuk akal dan secara jujurnya saya tidak mempunyai sebarang masalah perkara ini bahkan saya merasakan ia memberi rasa tambahan kepada penceritaan untuk Fast X, kerana dengan jelasnya perkara ini tidak perlu diambil secara serius – oleh itu sekali lagi saya ingin mengatakan yang filem Fast X menghiburkan apabila mereka melakukan perkara-perkara yang tidak masuk akal ataupun aksi yang terlebih ganas dan bukannya apabila cuba untuk membawa emosi ataupun menaikkan lagi perwatakan sesuatu watak.
Akhir kata, Fast X seperti mana-mana filem The Fast Saga sebelum ini adalah di tahap terbaik mereka apabila memaparkan penceritaan ataupun adegan yang tidak masuk akal dengan kata lain apabila mereka tidak perlukan penonton untuk mengambil serius mengenai apa yang berlaku dan sebaliknya sekadar menghayati serta mengalami perkara-perkara tersebut. Ini jelas diperlihatkan di dalam Fast X di mana bahagian membosankan untuknya adalah apabila mereka cuba lagi untuk membina watak, mungkin boleh dipersalahkan kerana penulisan tetapi saya lebih merasakan watak-watak di dalam filem tidak lagi perlu dibina dan sekadar ‘enjoy the ride’.
Namun, dengan mereka menawarkan lebih banyak bahagian yang menarik serta membuatkan saya asyik menonton, bahagian-bahagian bosan dengan cepat dilupakan dan saya sekadar ingin melihat adegan aksi apa pula yang akan dilakukan oleh mereka. Selepas beberapa filem dan beberapa tahun filem Fast X akhirnya menjadikan francais ini kembali menarik dan menjadi filem terbaik untuk The Fast Saga selepas beberapa filem yang mengecewakan sebelum ini. Masih tidak pasti jika siri filem ini akan menerima satu ataupun dua lagi, tetapi boleh dikatakan filem-filem tersebut akhirnya menjadi menarik untuk dinantikan.
Penafian: Tayangan untuk Fast X disediakan oleh UIP bagi tujuan ulasan ini.