Eropah Meluluskan Microsoft Mengambil-Alih Activision Blizzard

Seperti yang diura-urakan sebelum ini, Eropah hari ini telah meluluskan pengambil-alihan Activision Blizzard oleh Microsoft dengan beberapa syarat berkait dengan pengedaran permainan melalui awan.

Melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh European Commission, mereka mendapati yang Microsoft tidak mempunyai insentif untuk tidak mengeluarkan permainan-permainan Activision Blizzard di platform selain Microsoft.

Mereka juga mengatakan yang walaupun Microsoft mengambil keputusan untuk mengeluarkan permainan di platform mereka sahaja, perkara ini tidak akan menjejaskan pasaran yang masih lagi didahului oleh Sony.

Namun, mereka mengatakan yang jika Microsoft hanya mengeluarkan permainan Activision melalui perkhidmatan awan mereka sahaja, ini akan menjejaskan perkhidmatan awan oleh syarikat yang lain oleh itu sebagai syarat meluluskan pengambil-alihan ini, Microsoft mesti menyediakan lesen percuma untuk membolehkan permainan mereka di-strim di mana-mana perkhidmatan awan.

Dengan kelulusan ini, menjadikan pengambil-alihan Activision Blizzard hampir selesai, dengan Microsoft perlu mendapat kelulusan satu lagi pasaran besar iaitu Amerika Utara dan juga UK yang mereka sedang melakukan rayuan.

Sohor Kini