Sukan SEA: Pasukan PUBG Mobile Malaysia Mendapat Gangsa

Kontinjen esukan Malaysia di Sukan SEA telah menyumbangkan pingat keempat apabila pasukan PUBG Mobile Malaysia telah membawa pulang pingat gangsa selepas berada di tempat keempat di dalam perlawanan peringkat akhir yang berlangsung semalam dan hari ini.

Malaysia yang menghantar dua pasukan untuk kejohanan ini mendapat gangsa melalui pasukan Malaysia 1 yang terdiri daripada Damrude, Uhigh, Mica, Snipes dan Stuxnet.

Pasukan Malaysia 1 ini bermain dengan cemerlang untuk pertengahan kedua perlawanan dan bersaing sengit dengan Vietnam 1 untuk pingat perak, tetapi kecewa di perlawanan akhir dengan hanya mendapat dua markah dan memberi peluang kepada Vietnam 2 untuk mengejar dan berada di tempat ketiga.

Namun, dengan tempat keempat masih lagi membawa pulang gangsa, sekurang-kurangnya pasukan Malaysia mempunyai satu pingat untuk di bawa balik.

Manakala satu lagi pasukan Malaysia, yang terdiri daripada Jumper, Echo, FlaxOP, Oliyo dan Yen sekadar berada di kedudukan ke-11.

Malaysia masih lagi berpeluang untuk menambah lagi pingat di dalam PUBG Mobile melalui kategori berseorang yang berlangsung esok, Malaysia menghantar enam pemain iaitu DamRude, Echo, Jumper, Mica, Oliyo dan Snipes.

Dengan penambahan gangsa ini, esukan Malaysia telah mempunyai 2 perak dan 2 gangsa untuk Sukan SEA 2023 ini.

Sohor Kini