ASUS Republic of Gamers hari ini telah mengumumkan secara rasmi harga untuk PC mudah alih mereka ROG Ally – harga yang diumumkan adalah seperti diura-urakan sebelum ini iaitu $699 (~RM3200) untuk model menggunakan cip AMD Ryzen Z1 Extreme dan $599 (~RM2,670) untuk AMD Ryzen Z1.
Spesifikasi lain untuk ROG Ally adalah menyertakan RAM sehingga 16GB LPDDR5 dan sehingga 512GB SSD storan dengan sokongan mikroSD. Bagi paparan pula menggunakan resolusi HD Penuh, kadar segar semula sehingga 120Hz, kadar reaksi 7ms dan tahap keterangan 500nits.
Dengan ROG Ally hadir bersama dengan Windows 11 terbina, PC mudah alih ini akan mempunyai keserasian dengan kebanyakan permainan-permainan yang dikeluarkan untuk PC. Tambahan itu, ROG Ally juga akan menyokong gedung dan platform seperti Steam, Xbox Game Pass, EA App, dan Epic Games Store.
ROG Ally sudah diumumkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia tetapi buat masa ini masih tiada tarikh ataupun harga. Namun, berdasarkan perkongsian oleh Nextrift, pemain di Malaysia mungkin boleh mendapatkannya pada suku ketiga tahun ini.