Asus Republic of Gamers hari ini telah mengumumkan yang ROG Phone 7 ditawarkan dengan harga RM3,599 untuk 12GB RAM + 256GB storan, RM4,299 untuk 16GB RAM + 512GB storan. Telefon ini sudah ditawarkan bermula hari ini.

Manakala ROG Phone 7 Ultimate akan ditawarkan dengan harga RM4,999 yang menyertakan 16GB RAM + 521GB storan bersama dengan AeroActive Cooler 7 disertakan di dalam kotak. Telefon ini akan tiba secara rasmi pada 15 Mei 2023.

ROG Phone 7 menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2, menyertakan skrin dengan saiz 6.78-inci dengan resolusi 2448 x 1080 dan menggunakan panel Samsung AMOLED, dengan kadar segar semula sehingga 165Hz.

Bagi kapasiti bateri pula telefon ini menyertakan 6000 mAH dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 65W, dengan palang kuasa disertakan di dalam kotak.

ROG Phone 7 juga menyokong teknologi Snapdragon Elite Gaming, iaitu sokongan teknologi ray tracing masa nyata. Bagi permainan yang menyokongnya, ini akan membawa grafik yang lebih realistik terutama untuk pantulan di permukaan air dan besi.

ROG Phone 7 juga menyertakan pembesar suara yang lebih baik, tetapi bagi yang ingin menggunakan fon telinga, 3.5 picu audio masih disertakan dengan sokongan teknologi Diracr Virtuo untuk bunyi spatial.

ROG Phone 7 ditawarkan dengan warna Phantom Black dan Storm White, manakala ROG Phone 7 Ultimate hanya hadir dengan warna Storm White.

Jika berminat anda juga boleh kunjungi jerayawara ROG Phone 7 di Pavilion, Bukit Jalil ataupun melalui ROG Estore untuk mendapat hadiah bernilai RM946 bagi setiap pembelian yang menyertakan tambahan waranti, AeroActive Cooler 6, kerangka dan juga skrin protector.

Sohor Kini