Saya sekadar mengetahui mengenai Knights of the Zodiac sedikit sahaja dan boleh di katakan hanya mengetahui yang siri ini mempunyai manga, siri anime dan juga pelbagai siri animasi lain. Ini dengan kata lain – saya menonton filem ini dengan pengetahuan yang sangat terhad. Oleh itu, sangat mengecewakan apabila saya menonton filem ini, saya masih tidak pasti mengenai kisah di-sebalik Knights of the Zodiac ataupun ingin lebih mendalami mengenai kisah-kisah mereka.
Filem Knights of the Zodiac memfokuskan kepada Seiya lakonan Mackenyu yang membesar bersama kakaknya. Pada suatu hari semasa dia sedang berlatih ilmu pertahanan diri, rantai kakaknya bersinar dan tidak lama kemudian ada sekumpulan manusia yang datang ke rumah mereka. Seiya disorok oleh kakaknya akan tetapi kakaknya diambil oleh kumpulan tersebut dan filem ini beralih beberapa tahun dan Seiya sudah membesar.
Seiya yang membesar secara berseorangan telah terlibat di dalam perlawanan haram, semasa dia berlawanan, kuasa kosmo keluar tanpa dia sedari dan mengakibatkan kumpulan yang sama sebelum ini menjejak dirinya. Namun, dia diselamatkan oleh Alman Kiddo lakonan Sean Bean dan di bawa ke satu tempat rahsia. Alman Kido kemudiannya memberitahu Seiya yang dia merupakan seorang Knight yang perlu melindungi Athena.
Alman Kido juga memberitahu yang Athena yang merupakan ‘Tuhan Kebijaksanaan’ dan juga ‘Tuhan Peperangan’ telah dilahirkan semula di dalam badan Sienna lakonan Madison Iseman yang juga merupakan anak peliharaan Alman Kido. Oleh itu, Alman Kiddo ingin Seiya berlatih untuk menjadi Knight agar di dapat melindungi Sienna. Seiya juga kemudiannya mendapat tahu yang kumpulan orang jahat diketuai oleh Guraad lakonan Famke Janssen yang merupakan bekas isteri Alman Kido dan ibu peliharaan untuk Sienna.
Seiya pada awalnya tidak berminat untuk mengetahui mengenai Athena, sebaliknya dia sekadar ingin mencari kakaknya. Seiya kemudian dipujuk mengatakan apabila dia memiliki kuasa yang mencukupi sahaja dia dapat mencari kakaknya. Bermulalah latihan Seiya bersama dengan Marin lakonan Caitlin Hutson. Plot mula berkembang dengan kumpulan Guraad semakin menghampiri dengan tempat Sienna menyorok.
Secara amnya, penceritaan di dalam filem ini adalah ringkas sahaja, tetapi itu bukan masalah utama, sebaliknya untuk satu penceritaan berkait dengan dunia Knights of the Zodiac, filem ini gagal untuk mengembangkan dengan baik setiap watak yang hadir di dalamnya. Tidak kira watak utama seperti Seiya dan Sienna, ataupun watak-watak sampingan yang lain termasuk juga “Knights” lain, terasa sangat cetek, perwatakan mereka juga tidak menarik.
Selepas saya keluar daripada menonton filem ini, saya tertanya-tanya adakah itu sahaja penceritaan mengenai watak-watak ini, akan tetapi apabila saya membaca dengan lebih lanjut, setiap watak mempunyai penceritaan tersendiri yang mendalam dengan motif mengenai kelakuan mereka adalah lebih menarik, tetapi filem ini sangat menyampaikan dengan terlalu ringkas.
Motivasi untuk sesuatu watak, pertelingkahan yang berlaku di antara beberapa watak juga dilakukan dengan kurang menjadi. Contohnya, berkait dengan kakak Seiya, kakaknya terus menjadi plot yang penting di dalam memberi motivasi kepada Seiya dan juga memberi permasalahan kepadanya. Namun, saya merasakan cara yang dilakukan akan membuatkan penonton tertanya-tanya kenapa tidak dijelaskan daripada awal, bahkan saya sekadar keliru sepanjang filem ini mengenai nasib kakaknya.
Bercakap mengenai pembinaan watak, seperti biasa, filem-filem yang berkait dengan watak utama berlatih untuk menjadi lebih berkuasa akan menyertakan satu montaj latihan, begitu jugalah untuk filem ini. Montaj ini juga dilakukan dengan sangat tidak menarik walaupun kita diperlihatkan dengan dua orang Knight, tetapi terasa melihat satu rehearsal, walaupun cuba untuk memperlihatkan yang montaj tersebut mengambil beberapa hari, tetapi saya sekadar nampaknya berlaku dalam masa sehari sahaja.
Penulisan dialog dan juga susunan plot filem ini juga mengecewakan dengan filem ini gagal untuk membuatkan saya cakna dengan apa-apa yang terjadi. Saya memberi tumpuan kerana saya sedar saya perlu mengeluarkan ulasan untuk filem ini. Jika tidak, saya merasakan penonton akan hilang minat untuk mengambil tahu mengenai apa yang sedang berlaku dan juga akan sekadar tertanya-tanya apa Knights of the Zodiac ini.
Satu-satunya perkara yang positif saya boleh katakan mengenai filem ini, yang menjadikan ia tidak membosankan adalah pertempuran dilakukan dengan baik koreografi yang disertakan adalah menarik dan terasa pelbagai. Setiap kali berlakunya adegan pertempuran saya boleh berdiri tegak daripada hampir tertidur sebelum ini. Oleh itu, filem ini tidak menjadi seteruk yang sepatutnya kerana menyertakan adegan pertempuran yang menarik.
Namun, bahagian ini juga dikecewakan dengan penggunaan CGI yang kurang menjadi. Ada masa CGI yang digunakan ternampak sangat janggal dan tidak disampaikan dengan baik. Saya secara peribadi tidak terlalu mementingkan kualiti CGI di dalam filem, asalkan penceritaan itu menarik, namun dengan Knights of the Zodiac, salah satu “redemption point” yang saya boleh ambil daripada filem ini jika dihasilkan dengan cantik, malangnya perkara ini juga mengecewakan.
Akhir kata, Knights of the Zodiac malangnya gagal untuk menjadi satu filem permulaan yang baik kepada siri ini. Walaupun, pengakhiran filem ini menggambarkan yang lebih banyak filem susulan akan tiba tetapi filem ini tidak sangat membuatkan saya ingin meneruskan lagi mengikuti. Watak-watak yang disampaikan terlalu cetek dan kurang menarik, permasalahan yang disertakan terlalu ringkas dan ada masa terasa penyampaian terlalu gopoh. Ini sangat mengecewakan terutama kerana Knights of the Zodiac mempunyai sumber asal yang sangat mendalam.
Satu-satunya seperti saya katakan redemption point untuk filem ini adalah aksi pertempuran yang menarik dengan koreografi dihasilkan dengan pelbagai. Setiap kali saya hampir terasa bosan, mereka akan sertakan pertempuran yang serba sedikit membuatkan saya tertarik dengan apa yang sedang dipaparkan. Namun, perkara ini juga dikecewakan dengan penggunaan CGI yang kurang menjadi dan terlihat terlalu murahan.
Penafian: Tayangan untuk Knights of the Zodiac disediakan oleh Sony Pictures Malaysia bagi tujuan ulasan ini.