Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah hadir ke tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Bukit Bintang. Turut menemani beliau adalah isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Seperti diumumkan sebelum ini, filem Anwar: The Untold Story yang berkisarkan sejarah sebenar yang berlaku ketika Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, sehingga dipecat pada 1998 akan ditayangkan pada bulan Mei.
Berdasarkan perkembangan terbaru dan juga tarikh yang dilaporkan semasa tayangan perdana ini, filem tersebut akan ditayangkan pada 18 Mei 2023, yang akan memperlihatkan filem tersebut bersaing dengan filem Fast X yang akan mula ditayangkan pada tarikh yang sama.
Filem ini dilakonkan oleh Farid Kamil sebagai Anwar, dan turut dilakonkan oleh pelakon lain seperti Acha Septriasa, dan Hasnul Rahmat. Proses pembikinan filem ini telah dimulakan sejak 2021, dan turut dirakamkan di Indonesia disebabkan beberapa faktor ketika rakaman.
Sumber Gambar: FB Dadi Cinema