Guerrilla Games meneruskan tradisi mereka untuk mengeluarkan satu DLC bagi permainan Horizon. Jika Horizon Zero Dawn menerima The Frozen Wilds, Horizon Forbidden West permainan kedua bagi siri ini telah menerima Burning Shores yang dilancarkan pada bulan lepas. Seperti The Frozen Wilds, Burning Shores juga adalah satu penambahan yang mencukupi tidak terlalu mengembangkan penceritaan untuk Horizon tetapi cukup untuk dijadikan alasan kepada pemain untuk mengikut semula pengembaraan Aloy.
Meneruskan terus penceritaan daripada Horizon Forbidden West, Aloy telah mendapati yang seorang lagi anggota Far Zenith masih lagi hidup dan dari awal lagi telah berpecah iaitu Walter Londra iaitu sebelum berlakunya Faro Plague dia merupakan CEO syarikat yang melombong asteroid. Berbanding bersama dengan Far Zenith yang lain, Walter Londra telah melarikan diri ke kawasan yang dahulunya adalah Los Angeles iaitu tempat ibu pejabatnya dulu berada.
Walaupun Aloy dan Sylens tidak tahu motif Walter Londra melarikan diri ke Los Angeles akan tetapi mereka mengetahui yang mana-mana anggota Far Zenith akan mempunyai niat jahatnya sendiri. Maka bermula pengembaraan Aloy ke kawasan baharu iaitu Burning Shores untuk menyiasat apa yang ingin dilakukan oleh Walter Londra dan juga dengan harapan dapat mengetahui mengenai ancaman Nemesis yang semakin menghampiri bumi.
Burning Shores sebagai satu kawasan baharu adalah menarik, berbanding satu kawasan yang luas, Burning Shores lebih kepada beberapa pulau kecil yang membentuk satu penempatan. Oleh itu, kawasan ini dikelilingi dengan air yang memerlukan Aloy untuk menggunakan boat ataupun menggunakan Sunwing untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah. Tambahan pada itu, seperti namanya Burning Shores juga adalah satu kawasan gunung berapi dan kelihatan lava-lava yang keluar dari bumi.
Kawasan utama di Burning Shores adalah Fleet’s End yang menjadi penempatan utama untuk sekumpulan puak Quen yang merupakan daripada kumpulan pengembara yang sama berjumpa dengan Aloy di dalam Horizon Forbidden West. Aloy telah berjumpa dengan salah seorang daripada mereka iaitu Seyka yang di dalam misi untuk mencari orang-orangnya yang terpisah dengan mereka akibat ribut sebelum ini. Merasakan yang kehilangan orang-orang puak Quen berkait dengan Walter Londra, Aloy telah bekerjasama dengan Seyka untuk menyiasat kedudukan mereka.
Penambahan penceritaan yang disertakan di dalam DLC ini seperti saya katakan sebelum ini adalah mencukupi. Ia menarik kerana meneruskan penceritaan yang sama untuk permainan asal tetapi pada masa sama saya juga merasakan yang terlepas peluang untuk mengembangkan lagi penceritaan permainan ini. Aloy masih melawan dengan anggota Far Zenith tambahan itu, Aloy juga bertemu dengan puak Quen yang kita sudah kenali sebelum ini. Oleh itu, penceritaan keseluruhannya masih terasa lebih kurang sama.
Bagi watak Seyka pula yang menjadi teman utama Aloy di dalam pengembaraan Burning Shores ini adalah satu watak yang menarik dengan mempunyai personaliti yang akan mengingatkan pemain kepada Aloy sendiri dan Aloy sendiri juga menyedarinya. Oleh itu, Seyka adalah satu penambahan yang baik tetapi sedikit mengecewakan kerana watak-watak lain yang diperkenalkan terasa sangat sedikit penglibatan mereka.
Pengembaraan di dalam Burning Shores adalah menarik pada awal permainan kerana perlu melalui kawasan air, sama ada menggunakan boat ataupun Sunwing, tetapi akibat pengisian masih terhad kepada beberapa kawasan sahaja, kawasan-kawasan lain terasa kosong dan saya lebih meluangkan masa untuk pergi dari point A ke point B dan tidak terasa untuk berhenti kerana tidak dapat melihat apa-apa yang menarik di kawasan tersebut.
Namun, di kawasan-kawasan yang diisi dengan pelbagai kandungan, kawasan tersebut lebih menarik. Contohnya Pangea Park yang kelihatan seperti muzim untuk Dinosaur, penggunaan hologram serta pelbagai kawasan ‘tersembunyi’ yang disertakan menjadikan salah satu kawasan yang menarik untuk diteroka semasa bermain ataupun selepas menghabiskan Burning Shore itu sendiri.
Selain itu, pemain juga akan menjumpai beberapa mesin baharu contohnya Bilegut iaitu mesi berbentuk katakan dan boleh mengeluarkan telur yang sendirinya akan mengeluarkan satu lagi mesin baharu iaitu Stingspawn yang boleh menjadi menjengkelkan kerana hadir di dalam jumlah yang banyak. Bersama dengan binatang-binatang baharu ini pemain juga boleh menjumpai dan menggunakan senjata serta perisai baharu termasuk juga Legendary. Satu lagi perkara yang sedikit mengecewakan mengenai Burning Shores adalah kurangnya misi sampingan yang disertakan. Kalau saya tidak terlepas pandang, saya boleh katakan ada dalam dua sahaja misi sampingan selebihnya adalah misi utama, yang saya rasa boleh digunakan untuk membawa lebih banyak watak di dalam penceritaan.
Dikeluarkan untuk PlayStation 5 sahaja, walaupun Horizon Forbidden West turut dikeluarkan untuk PlayStation 4, membolehkan Guerilla Games untuk hadir dengan satu kawasan yang lebih “kaya” dengan lava, pokok dan juga air memenuhi kawasan ini. Satu kawasan yang kecil sahaja jika ingin dibandingkan dengan keseluruhan kawasan di dalam Horizon Forbidden West tetapi masih satu kawasan yang menarik. Kelancaran permainan juga adalah baik, walaupun pemuatan aset di bahagian belakang ada masa mengambil masa menjadikan sesetengah adegan kelihatan janggal.
Akhir kata, Burning Shores adalah satu alasan yang cukup baik untuk pemain kembali ke dunia Horizon dan kembali menjadi Aloy, akan tetapi dengan penceritaan tambahan melibatkan sekumpulan manusia yang sama seperti Quen dan juga Far Zenith, penceritaan tidak terasa terlalu jauh beza dengan penceritaan yang sebelum ini. Menjadikan masalah yang sama masih terasa di DLC ini iaitu watak jahat yang kurang menarik.
Namun, pengembaraan di Burning Shores, memperlihatkan pelbagai kawasan baharu yang dihasilkan dengan cukup menawan ditambah lagi dengan beberapa mesin baharu dan juga cara baharu untuk Aloy mengembara menjadikan Burning Shores masih lagi satu DLC yang mencukupi walaupun pemain perlu menantikan Horizon yang seterusnya untuk penceritaan yang lebih baharu.
Penafian: Kod DLC untuk Burning Shores disediakan oleh SIES bagi tujuan ulasan ini.